KUCHING: Kualiti udara di lapan kawasan di Sarawak berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 setakat 10.00 malam ini.
Kuching mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 182, diikuti Serian dengan 180 dan Samarahan, 176.
Turut merekodkan tahap tidak sihat ialah Lundu dengan bacaan 163, Betong menerusi Stesen Pemantauan Kualiti Udara Bergerak Berterusan (MCAQM) (161), Tebedu (156), Sri Aman (152) dan Kanowit (130).
Sementara itu, 10 kawasan mencatatkan bacaan sederhana iaitu Lubok Antu dengan IPU 100, Sibu (94), Sarikei (90), Mukah (83), Bintulu (79), Kapit (67), Samalaju (64), Lawas (59), serta ILP Miri dan Limbang masing-masing 51.
Hanya dua kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik iaitu Miri dengan bacaan IPU 48 dan Bario, 14.
Secara keseluruhan, daripada 20 stesen yang dipantau, lapan berada pada tahap tidak sihat, 10 sederhana dan dua lagi baik.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara sifar hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, manakala 101 hingga 200 adalah tidak sihat.
IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.





