Kebakaran gambut seluas 1.6 hektar di Jalan Kejatau berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar melibatkan api gambut seluas 1.6 hektar di Jalan Kejatau berjaya dipadam sepenuhnya dalam operasi hari ketiga, semalam. Foto BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Kebakaran belukar melibatkan api gambut seluas 1.6 hektar di Jalan Kejatau berjaya dipadam sepenuhnya dalam operasi hari ketiga, semalam.

Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, operasi bermula pada 9.04 pagi dan tamat pada 4.06 petang selepas anggota bomba berjaya memadam keseluruhan kawasan yang terbakar.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran masih berlaku di kawasan sama dengan api bertompok di sekitar kawasan yang dilaporkan.

Operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor, dengan anggota menggunakan beberapa aliran hos, dua muncung pancutan serta pam GP10/10 dan pam forest dengan sumber air terbuka dari parit berhampiran.

ANGGOTA bomba menggunakan kaedah ‘total flooding’ bagi memadam baki kebakaran gambut yang masih bertompok di Jalan Kejatau. Foto BBP Sri Aman

Baki kebakaran yang masih bertompok dipadam menggunakan kaedah ‘total flooding’ sehingga api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya.

Dalam masa sama, dua kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sri Aman menggunakan jengkaut untuk membuat fire break bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan lain.

Usaha itu turut dibantu enam pekerja ladang yang menggunakan pam air ladang sebagai sokongan kepada operasi pemadaman.

Operasi diketuai PBK I Noor Faqriakmal Jamari, dengan kekuatan anggota serta logistik melibatkan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

PASUKAN bomba melakukan pemadaman di kawasan kebakaran gambut di Jalan Kejatau yang hanya boleh diakses melalui jalan ladang menggunakan kenderaan utiliti. Foto BBP Sri Aman

Secara keseluruhan, kawasan kebakaran dianggarkan seluas 1.6 hektar dan kesemuanya berjaya dipadamkan.

Bagaimanapun, pasukan berdepan cabaran apabila akses ke lokasi melalui jalan ladang hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan utiliti.

Oleh Adi Safarman