SPAOH: Operasi bersepadu tiga agensi berjaya memadamkan kebakaran tanah gambut seluas 6.5 hektar daripada keseluruhan lapan hektar berhampiran landasan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling, di sini, semalam.
Menurut kenyataan media Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Betong, operasi itu membabitkan kerjasama RELA Betong, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh.
Pasukan penyelamat melaksanakan pemadaman secara intensif dengan memberi tumpuan kepada teknik jalur pemisah kebakaran bagi menghalang api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
Operasi turut menggunakan satu aliran daripada satu pam dengan dua nozel sepanjang 121 meter bagi memastikan kerja-kerja pemadaman dapat dijalankan secara berkesan.
Bagaimanapun, pasukan berdepan cabaran apabila sumber air terbuka di lokasi amat terhad, khususnya air parit yang semakin kering akibat keadaan tanah gambut.
Selain itu, kedudukan pili bomba terdekat yang agak jauh dari lokasi kebakaran turut menyukarkan usaha mendapatkan bekalan air secara berterusan.
Sehubungan itu, pasukan bertugas terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air yang dibawa menggunakan jentera Lori Tangki Air Bomba (FRWT) sepanjang operasi.
Operasi yang ditangguhkan lewat petang semalam akan disambung semula hari ini dengan memberi tumpuan kepada baki kawasan terjejas seluas 1.5 hektar.
Pasukan penyelamat optimis baki kawasan berkenaan dapat dipadamkan sepenuhnya menerusi strategi pemadaman yang telah dirancang.
Oleh Adi Safarman





