KUCHING: Seramai 919 peserta menyertai Potong Rambut Amal Perpaduan 916 di pusat beli-belah AEON Kuching Central sempena sambutan Hari Malaysia, sekali gus menjadikan aktiviti memotong rambut sebagai satu inisiatif kebajikan yang menyatukan masyarakat.
Program anjuran Barber Boss dengan kerjasama Pusat Khidmat P195 Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, itu berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam, dengan melibatkan kira-kira 40 tukang gunting rambut, sukarelawan dan orang awam.
Jumlah penyertaan tersebut turut melayakkan program berkenaan mencatat rekod dalam Buku Rekod Malaysia bagi kategori Penyertaan Teramai dalam Program Potong Rambut Amal.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata pencapaian itu bukan sekadar mengenai rekod, sebaliknya mencerminkan semangat perpaduan dan kemurahan hati masyarakat.
Potongan rambut ditawarkan pada harga RM10, manakala warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar menerima perkhidmatan secara percuma.
Yii turut menyumbang RM10,000 kepada inisiatif tersebut serta menaja potongan rambut percuma untuk 50 peserta.
Beliau berkata semua kutipan akan disalurkan kepada enam organisasi kebajikan di Sarawak iaitu PDK Sentuhan Kasih Kuching, The Salvation Army, Persatuan Autisme Kuching, Persatuan Orang Pekak Sarawak, Pertubuhan Orang Cacat Sarawak (POCS) dan Wishesland International.

Yii turut merakamkan penghargaan kepada Barber Boss yang menjayakan usaha mencipta rekod tersebut, selain para tukang gunting rambut, sukarelawan, peserta, penganjur dan rakan kerjasama.
Menurutnya, program itu mencerminkan semangat sebenar Hari Malaysia apabila masyarakat daripada pelbagai latar belakang bersatu untuk membantu komuniti.
Oleh Connie Chieng





