KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong, menggesa masyarakat supaya terus menyokong dan memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) tidak dipinggirkan dalam pembangunan masyarakat.
Beliau berkata demikian selepas menyokong jualan amal tahunan anjuran Persatuan OKU Kuching di Persatuan Gereja-Gereja Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia.
“Malaysia adalah sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian, sifat prihatin dan semangat saling menjaga antara satu sama lain. Ini termasuk memastikan golongan OKU tidak ketinggalan serta diberikan sokongan, peluang dan penghormatan yang sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, program seperti jualan amal berkenaan mungkin kelihatan sederhana, namun ia mengingatkan masyarakat bahawa setiap individu boleh memainkan peranan dalam membina komuniti yang lebih prihatin dan inklusif.
“Sehubungan itu, hari ini kami menyerahkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan OKU Kuching. Selain itu, kami turut membuka sebuah gerai dan berjaya mengumpul RM3,315 untuk persatuan tersebut,” katanya.
Kong turut merakamkan penghargaan kepada penganjur kerana terus menjemput mereka menyertai program tahunan berkenaan dan berkata pihaknya akan terus menyokong usaha Persatuan OKU Kuching serta komuniti yang mendapat manfaat daripada perkhidmatannya.
Oleh Connie Chieng





