Pokok mulong, durian tumbang halang laluan ke Penom

Facebook
WhatsApp
LALUAN utama menuju ke Penom di Jalan Ulu Paku terhalang sepenuhnya selepas dua batang pokok, masing-masing pokok mulong dan durian, tumbang ke atas jalan raya awal pagi tadi. Foto APM Spaoh

SPAOH: Laluan utama menuju ke Penom terhalang sepenuhnya selepas sebatang pokok mulong dan pokok durian tumbang di Jalan Ulu Paku, pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor, berkata Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh menerima panggilan daripada orang awam pada 7.05 pagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Susulan laporan itu, empat anggota APM Spaoh menerusi Skuad Bravo segera digerakkan ke lokasi pada 7.08 pagi dan tiba kira-kira 7.53 pagi, dengan jarak perjalanan sehala sekitar 20 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD).

ANGGOTA APM Spaoh menjalankan kerja-kerja memotong pokok tumbang yang menghalang laluan utama ke Penom di Jalan Ulu Paku, pagi tadi. Foto APM Spaoh

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati pokok mulong dan pokok durian yang tumbang menghalang sepenuhnya laluan utama ke Penom, sekali gus menyukarkan pergerakan kenderaan.

“Tanpa membuang masa, anggota Skuad Bravo terus menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok menggunakan peralatan yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi yang melibatkan Prebet Mohamad Firdaus Lihi, Prebet Ahmad Zulfakar Ramlan, Prebet Muhamad Zulhelmey Abdullah dan Prebet Mohd Shahrul Nasir itu selesai pada 9.35 pagi.

LALUAN DIBUKA…Jalan Ulu Paku menuju ke Penom kembali boleh dilalui selepas kerja-kerja pembersihan pokok tumbang selesai, pagi tadi. Foto APM Spaoh

Kerja-kerja pembersihan berjaya diselesaikan sepenuhnya dan laluan berkenaan kembali boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Operasi itu turut menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda, gergaji rantai (chainsaw), kotak peralatan, tali, sarung tangan serta topi keselamatan bagi memastikan kerja pemotongan dan pembersihan dilaksanakan dengan selamat.

Oleh Adi Safarman