Bantuan Tabung Kasih@Hawana X TM sangat bermakna sempena Hari Malaysia – Uleyvia

Facebook
WhatsApp
SANTUNI… Datuk Abdul Halim Hamzah (duduk dua,kanan) menyantuni Penerima Tabung Kasih@HAWANA X TM, Uleyvia Ubang (kanan) ketika menziarahinya, hari ini. Foto BERNAMA

KUCHING: Penerima Tabung Kasih@HAWANA X TM Uleyvia Ubang menyifatkan sumbangan yang diterimanya sangat bermakna, terutama sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

Uleyvia, 58, atau lebih dikenali sebagai Ivy adalah veteran industri penyiaran yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak 2015 dan kini menjalani rawatan dialisis secara berkala.

Beliau yang juga penerbit eksekutif di Cats FM telah berkhidmat di stesen radio itu selama 30 tahun sejak 1996.

PENERIMA Tabung Kasih@HAWANA X TM, Uleyvia Ubang ketika ditemui pemberita di kediamannya, hari ini. Foto BERNAMA

“Ini adalah satu penghargaan yang membuatkan saya rasa ‘oh’, sebenarnya orang media seperti saya ini masih juga ada yang memandang (beri perhatian).

“Walaupun dalam keadaan sakit macam ini, kami orang media tetap terus melakukan pekerjaan kami dengan telus kerana saya secara peribadi rasa gembira bila bekerja,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan itu di kediamannya di sini hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Hadir sama Pengurus Besar TM One Sarawak Mohd Zulkifli Ismuni.

Tabung Kasih@HAWANA X TM adalah inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.

Sejak peruntukan itu mula disalurkan pada Jun 2026, sebanyak 77 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Secara keseluruhan, 847 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak diperkenalkan pada April 2023. Inisiatif yang diterajui Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama.

– Bernama