KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga dekad menabur bakti dalam industri muzik tanah air, penyanyi popular Ezad Lazim melangkah ke fasa baharu kerjayanya apabila secara rasmi menubuhkan syarikat rakaman sendiri, EZ Record.
Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohammad Lazim, 47, berkata langkah berani itu diambil hasil inspirasi serta sokongan padu rakan-rakan industri selepas menyedari perlunya perancangan jangka panjang untuk kerjaya seninya.
Beliau berkata keputusan beralih ke alam penerbitan muzik dan pengurusan label itu dibuat atas kesedaran bahawa kerjaya sebagai penyanyi tidak akan kekal selamanya.
Katanya, langkah itu juga sebagai pelan awal untuk menyediakan “duit pencen” serta memastikan hak milik asal (master rights) dan royalti lagu-lagu baharu kekal berada di bawah pengurusannya sendiri.

“Saya tidak tahu sampai bila boleh terus menyanyi, mungkin ini masa yang sesuai… Kita perlu ada inisiatif. Sekurang-kurangnya saya ada benda lain yang boleh dibuat pada masa depan,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran single terbaharu beliau, Rasa Cinta di sini, baru-baru ini.
Mengenang kembali perjalanan awal kerjayanya, vokalis kumpulan Exists itu mengakui pernah terikat dengan pelbagai kontrak syarikat rakaman besar yang memegang hak cipta lagu-lagu nyanyiannya.
“Pengalaman ini sedikit sebanyak mensyuntik kesedaran dalam diri saya untuk memiliki kawalan penuh ke atas karya-karya akan datang,” katanya.
Ezad berkata sebagai pembuka tirai penubuhan label ini, beliau melancarkan single Rasa Cinta yang dicipta sepenuhnya oleh beliau dan isteri, Zeana Ramli.

“Walaupun kami kekal mempertahankan identiti irama balada dan slow rock, kami tetap mengambil pendekatan berani dengan melakukan eksperimen menerusi susunan muzik elemen electronic band,” katanya.
Pelantun lagu Luahan Cintaku itu turut berharap pembabitannya dalam bidang penerbitan belum terlewat dan mendapat sokongan daripada para peminat.
“Saya tubuhkan syarikat ini dua tahun lepas, cuma operasi label hanya bermula secara rasmi selepas saya pulang daripada menunaikan ibadah haji tahun ini. Walaupun seluruh hasil produksi dikendalikan sendiri oleh pihak saya, kami turut berkolaborasi dengan Sony Music Entertainment dari segi pengedaran karya,” katanya.
EZ Record berpangkalan di Kota Warisan, Sepang dan dilengkapi pelbagai kemudahan merangkumi studio latihan, studio rakaman serta studio fotografi.
Selain itu, EZ Record turut mula mengorak langkah mencungkil bakat baharu dalam industri dengan memperkenalkan dua artis naungan, iaitu Tika Nasir dan Adree.
“Kedua-dua mereka mempunyai bakat tersendiri selain personaliti dan rupa paras yang menarik. Kami tidak mengikat artis naungan ini secara ketat di bawah pengurusan, sebaliknya memberi kebebasan penuh kepada mereka untuk meneroka pasaran terlebih dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Ezad berkongsi beliau akan berkolaborasi dengan bekas vokalis Exists, Mamat menerusi satu projek duet khas dalam masa terdekat.
Single duet itu akan menampilkan genre pop balada klasik ala 80-an yang disesuaikan dengan vokal unik Mamat ketika ini, selain mendapat bantuan rakan anggota Exists seperti Along dan Ujang bagi memantapkan susunan muzik, katanya. – Bernama





