BETONG: Sebanyak 1,488 kotak air mineral diagihkan kepada penduduk di enam lokasi di Daerah Betong yang terjejas akibat musim kemarau dalam satu operasi penyaluran bantuan air bersih, semalam.
Menurut kenyataan media Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan (UKPS), operasi bersepadu itu dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk UKPS bersama pasukan Sukarelawan Immune Belt Enforcement Team (IBET).
Operasi yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang itu menyasarkan penduduk di Kampung Muton Asal, Kampung Muton Kara, Kampung Meregang, Kampung Nanga Tapeh, Kampung Nanga Tebalau dan Kampung Pelikoi.
Daripada jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan, sebanyak 562 kotak diagihkan di Kampung Muton Asal, diikuti Kampung Muton Kara (356 kotak), Kampung Nanga Tapeh (192 kotak), Kampung Meregang (168 kotak), Kampung Nanga Tebalau (156 kotak) dan Kampung Pelikoi (54 kotak).
Menurut UKPS, penyaluran bekalan air bersih itu dilaksanakan secara terancang bagi memastikan penduduk di kawasan sasaran mendapat akses kepada bekalan air minuman yang amat diperlukan untuk kegunaan harian sepanjang musim kemarau.
Rangkaian penugasan pasukan DReT-UKPS pada hari berkenaan juga berjalan lancar dan teratur tanpa sebarang masalah dilaporkan.
Bantuan ke kawasan lain yang turut terjejas akibat kekurangan bekalan air dijadualkan diteruskan mengikut susunan operasi seterusnya bagi memastikan keperluan penduduk terus diberi perhatian.
Oleh Adi Safarman





