Anak sawa batik menyusup di kawasan parkir, APM bertindak

Facebook
WhatsApp
KELIBAT seekor anak ular sawa batik berhampiran sebuah kereta di kawasan parkir sebuah pasar raya di Medan Betong mencetuskan kebimbangan orang awam, malam tadi. Foto: APM Betong

BETONG: Kelibat seekor anak ular sawa batik berhampiran sebuah kereta di kawasan parkir sebuah pasar raya di Medan Betong mencetuskan kebimbangan orang awam, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.02 malam berhubung penemuan reptilia berkenaan.

Menurutnya, pengadu dikenali sebagai Sura memaklumkan ternampak kelibat seekor ular berada di sisi keretanya ketika berada di luar kawasan parkir.

“Pengadu kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Betong untuk mendapatkan bantuan bagi menangkap ular tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan panggilan itu, tiga anggota APM Betong bergegas ke lokasi pada 9.04 malam dan tiba sekitar 10 minit kemudian.

Setibanya di lokasi, Skuad Alpha APM Betong terus menjalankan pencarian di kawasan yang dinyatakan oleh pengadu bagi mengesan reptilia berkenaan.

“Hasil pencarian mendapati seekor anak ular sawa batik sepanjang sekitar dua kaki berjaya ditemui dan ditangkap menggunakan teknik menyepit,” katanya.

Operasi menangkap ular itu selesai pada 9.48 malam, dengan jarak perjalanan sehala sekitar tiga kilometer.

Operasi melibatkan Koperal Hamdan Mahmud, Prebet Ericson Banta Sering dan Prebet Wilson Beji Do, dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta peralatan menangkap haiwan.

Oleh Adi Safarman