BETONG: Pasukan bomba mengambil masa lebih sembilan jam untuk mengawal kebakaran belukar di kawasan Kampung Sebemban, Jalan Tanjung Assam, di sini, semalam.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.12 pagi sebelum sebuah jentera Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) bersama pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Menyelamat (EMRS) digerakkan seminit kemudian.
Pasukan tiba di lokasi pada 9.25 pagi dan mendapati kebakaran belukar sedang berlaku di kawasan berkenaan.
Operasi pemadaman diketuai PBK II Nickson Asean Akui dengan bantuan tiga anggota Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Betong serta tiga pemilik tanah.
Bagi memastikan api tidak terus merebak, pasukan bomba menggunakan satu aliran air sepanjang 122 meter, satu cabang pembahagi, dua hos hantaran masing-masing sepanjang 61 meter serta dua nozel.


KEADAAN kawasan belukar di Kampung Sebemban, Jalan Tanjung Assam, Betong, selepas kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba, semalam. Foto BBP Betong
Sebanyak tujuh kali pengisian semula air daripada jentera bomba dilakukan sepanjang operasi pemadaman.
Usaha memadam kebakaran berdepan cabaran apabila sumber air di kawasan kejadian terhad, manakala pili bomba terdekat terletak kira-kira 1.1 kilometer dari lokasi.
Bagaimanapun, kegigihan pasukan membuahkan hasil apabila kebakaran berjaya dikawal pada 6.20 petang selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran merebak.
Operasi ditamatkan pada 6.45 petang.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti yang melibatkan penggunaan api, terutama ketika cuaca panas dan kering, bagi mengelakkan kebakaran belukar daripada merebak serta mengancam kawasan berhampiran.
Oleh Adi Safarman





