LIMBANG: Kesesuaian tapak, akses mudah serta kestabilan bekalan elektrik dan air menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pembinaan dan naik taraf klinik kesihatan, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Abdul Taib, berkata pemilihan tapak yang strategik penting bagi memastikan kemudahan kesihatan dapat diakses dengan mudah oleh masyarakat, selain mengurangkan risiko berdepan masalah seperti banjir.
Katanya, tapak baharu perlu berada di kawasan yang sesuai, termasuk tidak terlalu rendah dan mempunyai akses yang baik ke jalan raya bagi memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
“Antara yang paling penting, kita perlu lihat kesesuaian tapak, termasuk tanahnya yang tidak terlalu rendah kerana kita bimbang berlaku banjir, selain memudahkan akses ke jalan raya.
“Dalam pembinaan atau naik taraf klinik ini, kita bukan sahaja perlu melihat dari segi pelaksanaannya dan keperluan perkhidmatan, tetapi juga akses kepada perkhidmatan bagi mereka yang datang dari kawasan luar.
“Jadi, kita perlu memahami apakah kekurangan yang dihadapi, terutamanya di kawasan pedalaman. Antaranya mungkin melibatkan kestabilan bekalan elektrik atau bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Nanga Medamit, Limbang, sempena Program Jelajah Kesihatan Borneo, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, dan ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang.
Hanifah berkata KKM turut memberi perhatian terhadap isu dan cabaran yang dihadapi warga klinik di luar bandar, termasuk kekurangan fasiliti, bekalan air yang tidak stabil serta kekangan peralatan dan perkakas perubatan.
Katanya, semua pandangan wakil rakyat turut diambil kira, termasuk cadangan Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, berhubung keperluan pembinaan Klinik Kesihatan Nanga Medamit yang baharu di lokasi lebih strategik.
“Ini penting supaya kita dapat melihat apakah keperluan sebenar di kawasan tersebut dan memastikan kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat setempat,” katanya.
Menurut Hanifah, Program Jelajah Kesihatan Borneo dilaksanakan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keperluan kesihatan di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Jelasnya, pendekatan turun padang penting bagi membolehkan isu sebenar yang dihadapi masyarakat dikenal pasti secara langsung dan tindakan sewajarnya diambil mengikut keperluan.
Dalam program berkenaan, perbincangan mengenai keperluan Klinik Kesihatan Long Napir dan Klinik Kesihatan Baru Limbang turut diadakan bersama wakil rakyat di Limbang.
Terdahulu, rombongan KKM dari Putrajaya turut mengadakan lawatan ke tapak Klinik Kesihatan Baru Limbang serta tapak cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Nanga Medamit.
Oleh Adeng Edrus





