Sarawak mungkin turunkan lagi had umur belia kepada 35 tahun

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Negeri Sarawak, Sidang 2, Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026 di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak, hari ini. Foto Adele Rissa

PETRA JAYA: Sarawak berkemungkinan menurunkan lagi had umur belia daripada 40 kepada 35 tahun dan seterusnya 30 tahun pada masa akan datang.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak ketika ini masih mengekalkan had umur belia 40 tahun ke bawah meskipun had umur belia di peringkat kebangsaan diturunkan kepada 15 tahun hingga sebelum mencapai usia 30 tahun mulai 1 Januari 2026.

Menurutnya, Sarawak mempunyai kuasa sendiri dalam menentukan had umur belia kerana perkara berkaitan belia termasuk dalam Senarai Bersama di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau di Sarawak, umurnya masih lagi 40 tahun ke bawah. Kita belum pindah dan kalau kita lakukan pun, kita tidak akan tergesa-gesa. Kita masih lagi mengikut cara kita sendiri,” katanya.

PESERTA menghadiri majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Negeri Sarawak, Sidang 2, Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026 di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak, hari ini. Adele Rissa

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Sarawak, Sidang II, Penggal Ke-35, Sesi 2025/2026 di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, Sarawak sebelum ini menetapkan had umur belia pada 45 tahun ke bawah sebelum menurunkannya kepada 40 tahun.

“Insya-Allah kemungkinan di tahun-tahun mendatang ia akan menurun lagi kepada 35 tahun ke bawah dan mungkin sampai ke 30 tahun ke bawah,” ujarnya.

Jelasnya, penurunan had umur belia perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh peremajaan, kesinambungan dan pembangunan kepimpinan generasi baharu.

Sehubungan itu, pemimpin yang lebih berpengalaman perlu menyediakan ruang kepada generasi seterusnya untuk belajar memimpin, membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan memikul tanggungjawab.

“Kita tidak mahu berlaku kekosongan kepimpinan. Kita mahu berlaku pemindahan pengalaman daripada satu generasi kepada satu generasi kepada generasi yang seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, pertubuhan belia juga tidak seharusnya hanya mengukur kejayaan berdasarkan jumlah keahlian, sebaliknya melihat berapa ramai pemimpin baharu yang berjaya dilahirkan.

Oleh Adele Rissa