KUCHING: Ancaman serangan Indonesia melalui dasar konfrontasi menjadi antara faktor yang menyebabkan tarikh asal pembentukan Malaysia pada 31 Ogos 1963 berubah kepada 16 September 1963.
Sejarawan Datu Dr Sanib Said berkata, ancaman berkenaan amat dirasai di Sarawak, khususnya apabila serangan berlaku di Tebedu, Serian dan Lundu.
“Antaranya ialah ancaman serangan daripada pihak Indonesia yang mengisytiharkan dasar konfrontasi, khususnya di Kuching yang paling dekatlah.
“Mereka telah menyerang Tebedu, Serian dan juga di Lundu. Ketika itu Indonesia kuat di bawah zaman Sukarno. Mereka memang agresif pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Podcast Borak Kenyalang terbitan Utusan Sarawak menerusi topik “16 September 1963: Realiti Sejarah Pembentukan Malaysia”, hari ini.
Wartawan Utusan Sarawak, Afiq Sallehi adalah moderator untuk program podcast sulung itu sempena sambutan Hari Malaysia.
Datu Dr Sanib berkata, pada masa sama Sarawak turut berdepan ancaman komunis, dengan Indonesia dan gerakan komunis ketika itu dilihat sebagai ancaman terhadap negeri ini.
Menurutnya, Parti Komunis Indonesia (PKI) merupakan antara gerakan yang paling berpengaruh di Indonesia pada ketika itu.
“Di samping itu, Sarawak sendiri menghadapi ancaman komunis. Jadi dua pihak ini, Indonesia dan komunis, bergabung untuk menyerang Sarawak dan mengambil Sarawak untuk dijadikan negeri komunis,” katanya.
Beliau berkata, keadaan tersebut antara sebab pembentukan Malaysia perlu dipercepatkan supaya wilayah yang terlibat dapat bersatu bagi menghadapi ancaman dan serangan dari luar.
“Jadi itulah antaranya kita membentuk Malaysia dan kalau boleh cepat-cepat merdeka supaya dapat bersatu untuk mengelakkan ancaman dan serangan daripada luar ini,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud & Adele Rissa





