SIBURAN: Dua wanita dewasa cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira empat meter di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan, Jalan Kuching-Serian, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.50 pagi.
Susulan itu, enam anggota dari BBP Siburan bersama sebuah jentera bomba dan penyelamat (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada 4.53 pagi dan mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan yang terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira empat meter.
Kedua-dua mangsa didapati tidak tersepit dan telah berjaya keluar dari kenderaan berkenaan.
Seorang daripada mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh pasukan EMRS, manakala seorang lagi dihantar menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang diketuai Mohamad Ismail Zulkipli berjaya dikawal pada 5.10 pagi.
Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.00 pagi.
Oleh Norman B





