VILA-REAL, Sepanyol: Real Betis meraih kemenangan 2-1 ke atas Villarreal untuk melonjak ke tangga ketiga La Liga, sekali gus menyebabkan pasukan digelar Yellow Submarine itu terjerumus ke zon penyingkiran.
Villarreal kendalian Inigo Perez masih gagal mencatat kemenangan selepas lima perlawanan liga dan kini menduduki tangga ke-18, selain tewas dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara.
Gol Cucho Hernandez dan Natan membantu Betis meraih tiga mata serta menyamai kutipan mata Real Madrid, selepas Gerard Moreno terlebih dahulu membuka jaringan.
“Ketika ini, segala-galanya seakan menentang kami, pasukan lawan menghukum setiap kesilapan,” kata Moreno kepada Movistar.
“Kami perlu kekal bersatu dan menuntut lebih daripada diri sendiri… mungkin apabila ketinggalan, kebimbangan mula timbul dan keadaan menjadi lebih sukar.
“Sukar untuk menjelaskan (betapa sedikitnya) mata yang kami peroleh… kini kami perlu menjadi sebuah pasukan lebih daripada sebelumnya.”
Juara bertahan Barcelona mendahului carta liga selepas mencatat lima kemenangan berturut-turut, diikuti Real Madrid dan Real Betis.
“Kami tenang tetapi teruja. Saat-saat sukar akan tiba, namun perpaduan, kejujuran dan kerja keras adalah perkara yang tidak boleh dikompromi di sini,” kata Hernandez.
Villarreal memiliki lebih banyak peluang pada separuh masa pertama, namun mereka ketinggalan ketika menuju ke bilik persalinan.
Alvaro Valles melakukan aksi menyelamat cemerlang untuk menolak percubaan Santi Comesana yang terkena tiang, manakala jaringan Moreno dan Tajon Buchanan dibatalkan kerana ofsaid.
Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi Moreno pada minit ke-29 selepas Buchanan menanduk bola kembali kepadanya untuk disudahkan dari jarak dekat.
Bagaimanapun, Betis menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit sebelum separuh masa pertama berakhir untuk mendahului perlawanan.
Hernandez menyudahkan bola muntah selepas Peter Gulacsi menyelamatkan percubaan Ez Abde untuk menyamakan kedudukan buat skuad kendalian Manuel Pellegrini.
Penjaga gol Hungary itu turut melakukan kesilapan bagi gol kedua Betis apabila menampan bola ke laluan Natan yang mudah menyudahkan peluang dari jarak dekat selepas satu sepakan sudut ditanduk ke arah gawang.
Pasukan pelawat sepatutnya mampu menambah kelebihan pada separuh masa kedua, namun percubaan Hernandez ketika berada dalam posisi baik disekat, manakala Pablo Fornals gagal mengawal bola ketika tidak dikawal di hadapan gawang.
Gulacsi kemudian melakukan beberapa aksi menyelamat baik bagi menafikan percubaan Nelson Deossa dan Antony ketika Betis terus mencipta peluang berbahaya tanpa berjaya mematikan permainan, namun mereka tidak dihukum akibat kegagalan tersebut.
“Kami mempunyai tiga atau empat peluang jelas, saya sendiri ada dua peluang yang sepatutnya menghasilkan gol,” kata Hernandez. – AFP





