KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak terus menunjukkan penurunan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa kawasan bertambah baik setakat 8.00 malam ini berbanding 4.00 petang tadi.
Menurut data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 184, diikuti Lubok Antu (177), Samarahan (160), Sri Aman (158), Kuching (156) dan Tebedu (155), semuanya pada tahap tidak sihat.
Bagaimanapun, Lubok Antu menunjukkan penurunan paling ketara, daripada 196 pada 4.00 petang kepada 177 malam ini, sekali gus berubah daripada bacaan 196 kepada tahap tidak sihat yang lebih rendah.
Selain itu, bacaan Tebedu turun daripada 168 kepada 155, Sri Aman daripada 166 kepada 158 dan Lundu daripada 90 kepada 79.
Sebanyak 13 kawasan pula berada pada tahap sederhana, masing-masing Sarikei (58), Sibu (74), Mukah (57), Kapit (57), Bintulu (60), Samalaju (65), Miri (62), ILP Miri (57), Limbang (56), Lundu (79), Kanowit (73), Lawas (59) dan Betong (91).
Bario kekal pada tahap baik dengan bacaan IPU 42, berbanding 41 pada 4.00 petang tadi.
Bagaimanapun, beberapa kawasan mencatat peningkatan bacaan, termasuk Samarahan daripada 153 kepada 160, Kuching daripada 152 kepada 156 dan Serian daripada 181 kepada 184.
Secara keseluruhan, enam kawasan kekal pada tahap tidak sihat, manakala 13 kawasan sederhana dan satu kawasan berada pada tahap baik.
Bacaan IPU 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, 51 hingga 100 sederhana, manakala 0 hingga 50 berada pada tahap baik.





