KUCHING: Cadangan supaya Sabah dan Sarawak memiliki satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen masih belum diputuskan, namun Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan jumlah kerusi bagi kedua-dua negeri itu perlu ditambah.
Mengulas sama ada peningkatan kerusi itu akan mengambil kira tuntutan supaya Sabah dan Sarawak mempunyai satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen, Fahmi berkata perkara tersebut masih belum diputuskan.
“Belum diputuskan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika sesi ramah mesra beliau bersama pengamal media Kuching , hari ini.
Bagaimanapun, beliau menyatakan sokongan terhadap peningkatan jumlah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, selaras dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mesti ada peningkatan. Mesti ada peningkatan,” katanya.
Fahmi berkata, perincian mengenai jumlah kerusi tambahan dan proses persempadanan perlu menunggu kajian serta syor daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, kerajaan tidak akan campur tangan dalam urusan kajian yang dijalankan SPR dan menyerahkan perkara berkenaan kepada suruhanjaya itu untuk menentukan tempoh serta proses yang bersesuaian.
“Kita kena tunggu proses daripada SPR. Berapa lama tempohnya, kita serahkan kepada SPR kerana kita perlu mendapatkan input daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata keputusan dasar berkaitan perkara itu dibuat oleh pimpinan pada 11 September lalu di Kota Kinabalu, sebelum SPR membuat pengumuman mengenai langkah seterusnya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kajian persempadanan turut perlu mengambil kira ketidakseimbangan jumlah pengundi antara kawasan Parlimen bagi memastikan perwakilan yang lebih adil.
Beliau memberi contoh kawasan Bangi yang mempunyai kira-kira 300,000 pengundi berbanding Lembah Pantai dengan sekitar 100,000 pengundi.
“Dari segi undi, satu undi pengundi di Lembah Pantai bersamaan tiga undi di Bangi. Jadi ada sesetengah pihak yang merasakan perkara itu tidak adil,” katanya.
Fahmi berkata keadaan itu menunjukkan keperluan untuk melihat semula agihan kerusi secara menyeluruh, termasuk di kawasan yang mempunyai perbezaan ketara dari segi jumlah pengundi.
“Kita perlu berlaku adil kepada semua,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





