KABONG: Keprihatinan terhadap kebajikan warga emas terus diberi perhatian apabila seorang penduduk berusia 96 tahun menerima bantuan katil bujang bersama tilam menerusi program Ziarah Kasih di Kampung Metang Desa, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, bantuan berkenaan disalurkan bagi membantu menyediakan kemudahan tempat tidur yang lebih selesa dan selamat kepada Masini Sabel, yang kini memerlukan keperluan asas tersebut.
Dalam kunjungan itu, beliau bersama isteri, Datin Meryani Yassin, berkesempatan menziarahi Masini di kediamannya selain menyerahkan sendiri bantuan sebuah katil bujang berserta tilam.
Menurut Chee Kadir, bantuan tersebut adalah susulan permohonan yang dikemukakan oleh Enah Enggau pada 24 Ogos lalu bagi mendapatkan bantuan katil dan tilam untuk kegunaan Masini.
“Keperluan asas seperti tempat tidur yang selesa amat penting, lebih-lebih lagi bagi golongan warga emas.
“Justeru, kita berusaha memastikan permohonan yang dikemukakan dapat diberi perhatian dan bantuan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika turun padang menerusi program Ziarah Kasih di Kampung Metang Desa, Kabong, hari ini.
Chee Kadir berkata, keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan warga emas dan mereka yang memerlukan, akan terus menjadi antara keutamaan Pusat Khidmat ADUN Kabong dalam memastikan keperluan asas masyarakat sentiasa diberi perhatian.
Beliau berharap bantuan yang disalurkan itu dapat memberi keselesaan dan sedikit keceriaan kepada Masini serta keluarganya, selain membuktikan bahawa kebajikan rakyat di kawasan DUN Kabong sentiasa menjadi perhatian
Turut hadir Ketua Kaum Kampung Metang Desa, Faizal Sulaiman.
Oleh Adi Safarman




