KRIAN: Dua lagi projek di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian berjaya disiapkan, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya dari aspek kemudahan infrastruktur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keperluan asas penduduk di kawasan luar bandar terus diberi perhatian.
Menurut beliau, projek pertama membabitkan kerja menaik taraf jalan di hadapan serta pembinaan benteng hakisan di Rumah Rumpang, Prajo Ulu, Kabo, dengan kos sebanyak RM300,000.
Katanya, pelaksanaan projek itu penting bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk, selain membantu menangani masalah hakisan yang boleh menjejaskan jalan serta kawasan berhampiran.
“Projek ini diharap dapat memberikan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk, khususnya dalam urusan pergerakan harian serta memastikan laluan yang digunakan sentiasa berada dalam keadaan lebih selamat,” katanya semasa melakukan lawatan tapak dan perasmian dua projek RTP dekat sini semalam.
Sementara itu, satu lagi projek yang siap dilaksanakan ialah kerja menaik taraf jalan masuk ke Rumah Libau, Sungai Buloh Prajo, Kabo dengan peruntukan sebanyak RM250,000.
Friday berkata, penambahbaikan jalan masuk berkenaan amat penting bagi memastikan penduduk menikmati akses perhubungan yang lebih baik, di samping memudahkan pergerakan kenderaan serta urusan harian masyarakat setempat.
Beliau menegaskan komitmen untuk terus memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur di kawasan Krian supaya manfaat projek RTP dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, khususnya komuniti di kawasan luar bandar.
Oleh Adi Safarman




