KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa 1 September 2026, Pelabuhan Bintulu secara rasminya menjadi pelabuhan negeri iaitu di bawah bidang kuasa kerajaan Sarawak, daripada kedudukan asalnya sebagai pelabuhan persekutuan.
Menurut Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, peralihan itu adalah susulan penggubalan dua akta, iaitu Akta Pengisytiharan Kawasan di Daerah Bintulu sebagai Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 [Akta 858] dan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 [Akta 859].
Berikutan itu, tambah BPHB operasi, pengurusan dan pembangunan Pelabuhan Bintulu oleh Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) adalah tertakluk kepada terma-terma utama perjanjian bertarikh 27 Julai 2026 yang dimeterai antara kerajaan Sarawak, Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) (BPA Sarawak) dan BPSB, sementara menunggu pelaksanaan Perjanjian Konsesi Operasi Pelabuhan (POCA).
“Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak melalui surat rujukan MIPD/700-12/1/1(47) bertarikh 23 Jun 2026, telah memaklumkan kepada BPSB iaitu anak syarikat milik penuh BPHB bahawa kerajaan meluluskan secara prinsip pelantikan BPSB sebagai pengendali pelabuhan yang diluluskan bagi Pelabuhan Bintulu di bawah Seksyen 12(2)(a) Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan 1961,” katanya.
BPHB turut menjelaskan bahawa peralihan itu tidak akan menjejaskan operasi harian Pelabuhan Bintulu atau perkhidmatan kepada pelanggan, pengguna pelaburan dan pihak berkepentingan lain.
Menurut syarikat itu lagi, BPSB kekal sebagai pengendali Pelabuhan Bintulu dan semua operasi serta perkhidmatan pelabuhan akan diteruskan tanpa sebarang gangguan di bawah rangka kerja kawal selia negeri.
“Lembaga Pengarah menganggap peralihan itu merupakan satu peristiwa penting bagi BPHB dan BPSB.
“BPHB akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak, BPA Sarawak dan semua pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan peralihan yang lancar serta mengekalkan kestabilan, kecekapan dan kesinambungan operasi pelabuhan,” katanya. – Bernama




