SIBU: Penganjuran Pameran Mini Hari Malaysia 2026 dilihat mampu menjadi medium untuk menyemai penghayatan terhadap sejarah, patriotisme dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, berkata penghayatan terhadap Hari Malaysia tidak seharusnya terhad kepada sambutan berbentuk perayaan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pemahaman terhadap sejarah pembentukan Malaysia serta pengorbanan generasi terdahulu.
Menurutnya, keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat hari ini merupakan hasil perjuangan, pengorbanan, toleransi dan kebijaksanaan generasi terdahulu.
“Tanpa memahami sejarah, kita mungkin mengambil mudah nikmat keamanan yang dikecapi pada hari ini. Justeru, sejarah perlu dijadikan panduan untuk kita melihat ke hadapan dan bukannya sekadar mengimbau masa lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Residen Bahagian Sibu, Christopher Ranggau Unting, pada Majlis Pameran Mini Hari Malaysia 2026 Peringkat Bahagian Sibu di Pasar Raya Bisonte, di sini, hari ini.
Superi berkata, penganjuran pameran berkenaan amat dialu-alukan kerana memberi peluang kepada masyarakat memahami sejarah pembentukan Malaysia, selain menghayati perjalanan negara serta memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan.
“Setiap tahun pada 16 September, kita memperingati Hari Malaysia sebagai satu tarikh penting dalam sejarah pembentukan negara.
“Pada tahun 1963, Persekutuan Tanah Melayu bersama Sarawak dan Sabah membentuk sebuah persekutuan baharu yang dikenali sebagai Malaysia,” katanya.
Pameran Mini Hari Malaysia 2026 berlangsung selama seminggu, dari 10 hingga 16 September, di semua bahagian di Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, dengan Sarawak dipilih sebagai tuan rumah.
Hadir sama ialah Pemangku Pegawai Penerangan Daerah Sibu, Sharifah Robiah Wan Hadion, dan Pegawai UKAS Bahagian Sibu, Jelani Ajang.
Oleh Tarani Lanting




