Jerebu belum reda, IPU Lubok Antu kekal sangat tidak sihat

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU setakat 12.00 tengah hari. Sumber NREB

KUCHING: Keadaan jerebu di beberapa kawasan Sarawak masih belum reda apabila Lubok Antu kekal mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi iaitu 204, pada tahap sangat tidak sihat, setakat 12.00 tengah hari ini.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), enam kawasan turut mencatat bacaan pada tahap tidak sihat, iaitu Serian (175), Sri Aman (173), Tebedu (170), Betong (152), Kuching (138) dan Samarahan (105).

Sementara itu, 12 kawasan berada pada tahap sederhana, iaitu Sarikei (70), Sibu (79), Mukah (63), Kapit (59), Bintulu (65), Samalaju (72), Miri (64), ILP Miri (59), Limbang (53), Lundu (94), Kanowit (86) dan Lawas (59).

Bario pula kekal pada tahap baik dengan bacaan 40.

Berbanding bacaan pada 8.00 pagi tadi, IPU di empat kawasan meningkat, dengan Samarahan mencatat peningkatan daripada 98 kepada 105, Kuching daripada 132 kepada 138, Serian daripada 173 kepada 175 dan Sri Aman daripada 172 kepada 173.

Sebaliknya, kebanyakan kawasan mencatat penurunan bacaan, dengan Kanowit merekodkan penurunan paling ketara daripada 97 kepada 86, diikuti Bintulu daripada 75 kepada 65.

Di Lubok Antu, bacaan IPU hanya turun satu mata daripada 205 kepada 204, namun kekal pada tahap sangat tidak sihat.

Bacaan di Tebedu turut menurun daripada 174 kepada 170, manakala Betong turun daripada 154 kepada 152. Lundu pula kekal pada 94, manakala Bario tidak berubah dengan bacaan 40.

Secara keseluruhan, kualiti udara pada tengah hari menunjukkan sedikit penambahbaikan di kebanyakan kawasan berbanding bacaan pagi. Bagaimanapun, beberapa kawasan termasuk Kuching, Samarahan, Serian dan Sri Aman merekodkan peningkatan bacaan.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 0 hingga 50 berada pada tahap baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, manakala 201 hingga 300 sangat tidak sihat.

Pada tahap sangat tidak sihat, kualiti udara boleh menjejaskan kesihatan dan mengurangkan toleransi terhadap aktiviti fizikal, khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru.

Bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.