BINTANGOR: Landskap pembangunan Meradong dijangka mengalami perubahan ketara dalam tempoh dua tahun akan datang menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik di bawah seliaan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata pelbagai projek telah mendapat kelulusan dan pelaksanaannya dijangka memberi impak kepada kemudahan awam, rekreasi, perhubungan serta aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
“Daerah Meradong dijangka mengalami perubahan ketara dalam tempoh dua tahun akan datang susulan pelbagai kelulusan projek pembangunan di bawah seliaan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang dibawa oleh kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Antara projek yang akan dan sedang dilaksanakan ialah pembinaan Kolam Renang Bintangor dan Bangunan Sentral Market Bintangor, selain menaik taraf Waterfront Bintangor, Jalan Kampung Rancak menuju ke bandar Bintangor dan Taman Rekreasi Bintangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Baharu, Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Anak-Anak Ahli dan Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh anjuran Persatuan Foochow Daerah Meradong di sebuah restoran, malam tadi.
Tambahnya, Anjung Usahawan turut dirancang untuk dibina berhampiran kawasan perumahan di Jambatan Merah Bintangor bagi menyediakan kemudahan yang dapat menyokong pembangunan ekonomi serta aktiviti keusahawanan komuniti setempat.
Ding turut menyentuh peranan Persatuan Foochow Daerah Meradong dalam memperkukuh hubungan masyarakat serta memastikan warisan budaya terus dipelihara untuk generasi akan datang.
“Majlis ini bukan sekadar menjadi medan jamuan dan pertemuan, malah turut menjadi detik penting bagi menyaksikan barisan kepimpinan baharu Persatuan Foochow Meradong mengangkat sumpah dan memulakan amanah serta tanggungjawab mereka.
“Saya berharap barisan kepimpinan baharu dapat meneruskan kerjasama erat, memperkukuh perpaduan serta memainkan peranan aktif dalam memelihara dan mewariskan budaya serta tradisi masyarakat Foochow kepada generasi seterusnya,” katanya.
Katanya, kehadiran wakil persatuan Foochow dari Persekutuan Persatuan Foochow Malaysia, Manjung, Minqing, Kota Kinabalu, Sibu, Sarikei, Kapit, Simanggang dan Kanowit turut mencerminkan hubungan erat serta semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat Foochow.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Anak-Anak Ahli kali ke-44 kepada 32 pelajar sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka dalam bidang pendidikan.
Ding mengucapkan tahniah kepada semua penerima serta merakamkan penghargaan kepada Datuk Fann Teck Kian dan Zhu Xian Ni atas sokongan terhadap bidang pendidikan, sambil berharap pelajar terbabit terus mencapai kejayaan dan kelak menyumbang kembali kepada keluarga serta masyarakat.
Dalam majlis sama, beliau menyalurkan geran khas berjumlah RM22,000 kepada Persatuan Foochow Daerah Meradong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti persatuan, khususnya usaha memperkukuh perpaduan dan memelihara kebudayaan masyarakat Foochow.
Turut hadir ialah Datin Kueh Nai Fun, Penasihat Kehormat Persatuan Foochow Meradong Dato Ung Sing Ung, Datuk Paduka Hii King Hiong, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Loh Tiong Ming dan Pengerusi Persatuan Foochow Meradong Tang Kek Hian.
Oleh Earl Anek




