Kenderaan terbalik, kanak-kanak empat tahun cedera

Facebook
WhatsApp
KENDERAAN terbalik dalam kemalangan kendiri di lampu isyarat Ibraco, berhampiran Kampung Assyakirin, Bintulu, pagi ini.

BINTULU:  Tiga individu termasuk dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan kendiri di lampu isyarat Ibraco, berhampiran Kampung Assyakirin, di sini, pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.11 pagi dan tiba di lokasi dua minit kemudian.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan tiada mangsa dilaporkan tersepit.

“Seorang kanak-kanak berusia empat tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital berdekatan oleh pasukan bomba untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Manakala seorang lagi kanak-kanak dan seorang dewasa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi melibatkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dengan sebuah jentera bomba dan sebuah kenderaan perubatan kecemasan.