Pengetahuan CPR perkasa komuniti bertindak ketika kecemasan

Facebook
WhatsApp
DATUK Larry Sng Wei Shien menyampaikan geran kepada wakil salah seorang pertubuhan dan kumpulan komuniti pada Program Segulai Sejalai Jaga Pengerai 2026 di Rumah Tangai, Nanga Ayam. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU: Pengetahuan mengenai Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) merupakan kemahiran penting dalam komuniti kerana tindakan awal yang tepat ketika kecemasan berpotensi membantu menyelamatkan nyawa sebelum bantuan perubatan tiba.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata pendedahan menerusi Program Segulai Sejalai Jaga Pengerai 2026 memberi peluang kepada masyarakat meningkatkan pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan, termasuk tindak balas awal ketika berdepan situasi kecemasan.

“Melalui latihan dan pengetahuan yang diberikan, masyarakat juga boleh lebih yakin untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku kecemasan, terutamanya apabila seseorang memerlukan pertolongan cemas sebelum bantuan perubatan tiba.

“Selain itu, ujian darah juga penting untuk membantu kita memantau tahap kesihatan.

“Daripada ujian tersebut, kita dapat mengetahui keadaan kesihatan dan mengambil langkah awal sekiranya terdapat sebarang risiko,” katanya ketika berucap pada Program Segulai Sejalai Jaga Pengerai 2026 di Rumah Tangai, Nanga Ayam, baru-baru ini.

Program anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Julau itu memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan kesihatan serta pengetahuan yang boleh digunakan ketika berdepan situasi kecemasan.

AHLI Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien menyerahkan sumbangan kepada penerima. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

Katanya, aspek pencegahan juga tidak kurang penting kerana pemeriksaan seperti ujian darah membolehkan seseorang mengetahui status kesihatan dan mengambil tindakan lebih awal sekiranya terdapat faktor risiko.

Beliau turut menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk melakukan senaman secara berkala sebagai antara langkah untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

Pada program sama, Larry turut mengagihkan geran berjumlah RM20,260 kepada beberapa pertubuhan dan kumpulan komuniti bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti.

Penerima geran berkenaan ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Tangai, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Julau, Persatuan Gereja Advent Seven Day Daerah Julau, Biro Wanita Rumah Banai, Biro Wanita Rumah Tangai dan Biro Wanita Gramong Pasir Putih.

Sumbangan tersebut akan digunakan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti oleh setiap penerima, sekali gus memperkukuh penglibatan pertubuhan dan komuniti dalam program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Oleh Earl Anek