BEIJING: Setelah beberapa bulan sejak Januari tahun ini, China menunjukkan keredaan daripada peningkatan kes harian wabak Covid-19, namun kini, negara itu sekali lagi mencatatkan angka kes harian tertinggi bagi tempoh berbulan-bulan.
Ia susulan pelaksanaan kempen pengesanan kontak dan ujian saringan besar-besaran dalam usaha mengekang ancaman wabak itu, terutama perebakan pantas varian Delta.
Pihak berkuasa melaporkan 98 jangkitan tempatan, semalam – tertinggi sejak Januari lalu – ketika China bertungkus lumus melakukan ujian saringan Covid-19 di seluruh bandar dan mengenakan perintah berkurung terhadap jutaan penduduknya.
Keputusan rasmi hasil ujian saringan itu menunjukkan beban kes yang rendah walaupun wabak berkenaan merebak ke puluhan bandar utama.
Gelombang penularan terbaharu kini menyaksikan hampir 500 kes tempatan dicatat sejak pertengahan bulan lalu, selepas sebuah kluster dikesan membabitkan pekerja pembersihan lapangan terbang di Nanjing dalam wilayah Jiangsu.
Wuhan pula melaporkan jangkitan tempatan yang pertama dalam tempoh lebih setahun, minggu ini, dan ‘mengambil tindakan segera’ dengan melancarkan ujian saringan ke atas kesemua 11 juta penduduknya.
Semalam, penduduk dilihat berbaris panjang di luar pusat saringan dalam keadaan cuaca panas, manakala petugas yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sibuk mengambil sampel ujian.
Nanjing pula sudah melakukan tiga kali ujian saringan terhadap 9.2 juta penduduknya, selepas mengarahkan penutupan gimnasium dan panggung wayang serta sekatan di kawasan perumahan.
Destinasi pelancongan, Zhangjiajie dalam wilayah Hunan, semalam membuat pengumuman mendadak bahawa tiada sesiapa pun dibenarkan keluar dari bandar itu selepas ia dikesan menjadi ‘hotspot’ jangkitan. – AFP