Lebih 100 karya seni teroka wajah Sarawak menerusi ‘Under Sarawak Skies’

Facebook
WhatsApp
DATO' Chong Hon Fatt melukis Kuil Tua Pek Kong di Sibu.

KUCHING: Lebih 100 karya seni yang merakam keindahan landskap, kehidupan komuniti serta tradisi dan budaya Sarawak bakal dipamerkan menerusi pameran Under Sarawak Skies di Galeri Hoan, Pusat Beli-Belah La Promenade, sempena sambutan Hari Malaysia.

Pameran yang berlangsung sehingga 8 November itu menampilkan karya lebih 30 penggiat seni tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Singapura, Thailand, Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Penganjurannya merupakan hasil daripada Program Ekspedisi Seni dan Lawatan Lapangan Sarawak (Sarawak Art Expedition & Field Trip Programme), yang menyaksikan para pelukis mengembara ke pelbagai daerah di Sarawak bagi merakam pengalaman dan pemerhatian mereka terhadap negeri ini menerusi karya seni.

JARENCE Yoong melukis bersama seorang kanak-kanak tempatan.

Ahli pasukan Galeri Hoan, Catherine Moo, berkata usaha yang bermula sejak Jun lalu itu memberikan kepuasan apabila pelbagai interpretasi unik mengenai Sarawak dapat dihimpunkan dalam satu pameran.

“Melalui pameran ini, pengunjung dapat melihat Sarawak daripada pelbagai perspektif pelukis yang berbeza, termasuk cara mereka mentafsir landskap, budaya dan kehidupan masyarakat tempatan,” katanya.

PERSIAPAN karya seni untuk dipamerkan di Galeri Hoan.

Selain pameran karya, Under Sarawak Skies turut menampilkan tayangan perdana dokumentari pendek terbitan Big Lau Studios yang memaparkan perjalanan serta pengalaman para pelukis sepanjang ekspedisi berkenaan.

Pemilihan dan susunan karya juga akan diubah secara berkala sepanjang tempoh pameran bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung, selain disusuli dengan penganjuran bengkel seni.

PELUKIS melakar pasangan yang mengenakan pakaian tradisional Iban di Patrick Libau Homestay.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, dijadualkan hadir pada 17 September, 8.00 malam, bagi bertemu penggiat seni dan pengumpul karya.

Kesemua karya yang dipamerkan turut dibuka untuk jualan kepada orang ramai.

Maklumat lanjut mengenai pameran boleh diperoleh menerusi laman web Galeri Hoan atau media sosial galeri berkenaan.

Oleh Afiq Sallehi