Lelaki warga emas dilaporkan hilang semalam, ditemukan selamat pagi tadi

Facebook
WhatsApp
PASUKAN BOMBA....Kelihatan sedang mendapatkan maklumat serta mengesahkan identiti mangsa.

SELANGAU: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun durian berhampiran Jambatan Sungai Duat, di sini semalam, ditemukan selamat oleh penduduk rumah panjang, hari ini.

Mangsa,78, dilaporkan keluar dari rumahnya di Rumah (Rh) Selat sekitar 8.00 pagi semalam untuk ke kebun durian berhampiran kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa didapati tidak pulang sehingga laporan polis dibuat, menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.30 pagi, sebelum pasukan operasi bergerak ke lokasi.

Pasukan operasi tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian dan memulakan operasi pada 8.43 pagi.

Bagaimanapun, setibanya pasukan operasi di lokasi, mangsa telah ditemui selamat oleh penduduk rumah panjang.

Mangsa kemudian dibawa oleh keluarganya ke Klinik Kesihatan Selangau untuk pemeriksaan kesihatan.

Pasukan bomba turut ke klinik berkenaan bagi mendapatkan maklumat serta mengesahkan identiti mangsa sebelum memastikan keadaannya selamat. Setelah pengesahan dibuat, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 9.39 pagi.

Mangsa merupakan warga tempatan dan beralamat di Rh Selat, Kilometer 70 Jalan Sibu-Bintulu, Selangau.

Oleh Akun Giman