ROBAN: Keperluan asas penduduk di beberapa kawasan terjejas akibat kemarau di Daerah Kecil Roban terus diberi perhatian apabila sebanyak 1,434 pek air bersih dan minuman diagihkan kepada komuniti setempat, semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata penghantaran bantuan berkenaan dilaksanakan sebagai langkah segera bagi membantu penduduk yang berdepan kekurangan bekalan air akibat keadaan cuaca kering.
Menurutnya, operasi penghantaran bantuan itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kecil Roban, sekali gus memastikan bantuan dapat disalurkan kepada penduduk yang memerlukan dengan lancar dan selamat.
“Penghantaran bantuan air bersih dan minuman ini dilaksanakan ke kawasan yang terjejas akibat kemarau bagi memenuhi keperluan harian penduduk sementara menunggu bekalan air kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara kawasan yang menerima bantuan ialah Rumah Layang, Nanga Ibus dengan (186 pek); Rumah Beti, Supok (142 pek); Rumah Terence Suping, Plunga Atas (140 pek); dan Rumah Embol, Sungai Anak Seblak (122 pek).
Turut menerima bantuan ialah Rumah Luna, Sungai Nyiар sebanyak (244 pek), Rumah Munchit, Block B, Sungai Nyiар (238 pek), Rumah Anta, Jelupang Atas (214 pek) dan Rumah Sait, Jelupang Baroh (148 pek).
Keseluruhannya, sebanyak 1,434 pek bantuan berjaya diagihkan kepada penduduk di lapan lokasi berkenaan.
Operasi yang bermula pada 7.30 pagi itu melibatkan kekuatan anggota daripada APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Kecil Roban dan Jabatan Sukarelawan (RELA).
Seramai 26 anggota daripada keempat-empat agensi terbabit digerakkan bagi memastikan proses penghantaran dan penyerahan bantuan berjalan lancar.
Menurut Nur Athirah, kesemua isi rumah yang terlibat turut menerima pek minuman yang diserahkan oleh pihak JKM.
“Penghantaran bantuan air bersih dan minuman berjalan dengan lancar serta selamat. Penyerahan air juga diteruskan pada hari ini bagi memastikan penduduk terjejas mendapat bantuan yang diperlukan,” katanya.
Kerjasama rentas agensi itu memperlihatkan kesiapsiagaan semua pihak dalam menangani keperluan penduduk, khususnya ketika berdepan situasi kekurangan bekalan air susulan keadaan kemarau.
Usaha bantuan akan terus diperkasakan mengikut keperluan semasa bagi memastikan kebajikan dan keperluan asas komuniti yang terjejas sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman




