KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak selaku rakan strategik Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPSS), aktif dan komited menyumbang secara langsung untuk menangani beberapa isu yang diberi fokus oleh MPSS.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, antara isu yang diberi fokus oleh MPSS termasuklah isu jenayah harta benda, jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan wanita, keganasan rumah tangga dan kesihatan mental yang melibatkan bunuh diri.
“Dalam urus tadbir One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah Dan Substance (MIDS), Peringkat Negeri dan Daerah, JSJ Sarawak memberi input berkaitan isu penyalahgunaan dadah dan penyalahgunaan bahan berbahaya dengan kes-kes jenayah.
“Input tersebut amat penting sebagai indeks untuk mengukur kesan aktiviti penyalahgunaan dadah dan bahan berbahaya kepada kesejahteraan komuniti di Sarawak.
“Dalam urus tadbir One Stop Teenage Pregnancy (OSTPC) Peringkat Negeri dan Bahagian, JSJ Sarawak memberi input tentang jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak yang hamil atau remaja hamil,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak semalam.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata, peranan JSJ Sarawak amat penting bagi memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa mangsa jenayah seksual diberi pembelaan dan perlindungan yang sewajarnya dengan cepat, cekap dan tepat.
“JSJ Sarawak juga berperanan penting memastikan mangsa-mangsa jenayah keganasan rumah tangga melalui urus tadbir One Stop Crisis Centre (OSCC) yang beroperasi secara bersepadu di semua hospital di Sarawak, mendapat perkhidmatan kepolisian dengan segera supaya mereka dapat diselamatkan dan diberi perlindungan.
“Selain itu, JSJ Sarawak juga aktif terlibat dalam program kesedaran advokasi pembangunan sosial melalui Randau Pembangunan Sosial ke kawasan luar bandar dan pedalaman bersama MPSS,” ujarnya.
Ujarnya, melalui input berupa data dan statistik berdasarkan bukti, MPSS mampu membangun dan melaksanakan program intervensi sosial secara bersasar.
“Semoga kolaboratif bersepadu dan jalinan strategik dalam semangat setia kawan dengan JSJ Sarawak melalui tadbir urus, MPSS akan terus terserlah dan memberi impak kepada kesejahteraan komuniti di Sarawak,” katanya lagi.
Turut hadir, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, SAC Lukas Aket, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dr Rashidah Bolhassan, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Noriah Ahmad.