SANTUBONG: DJ dan penerbit muzik antarabangsa KSHMR menutup tirai ‘Borderland Music Festival’ 2026 dengan persembahan hampir 75 minit yang menggabungkan muzik elektronik, visual animasi dan unsur penceritaan berasaskan mitos, malam tadi.
KSHMR atau Niles Hollowell-Dhar tampil sebagai aksi kemuncak pada 10.40 malam sebelum menamatkan persembahannya sekitar 11.54 malam, di hadapan ribuan peminat yang memenuhi lokasi festival di Kampung Budaya Sarawak (SCV), Santubong malam tadi.
Persembahannya bukan sekadar set muzik elektronik apabila beberapa bahagian persembahan diselang-selikan dengan visual animasi pada skrin utama, yang membentuk elemen penceritaan dan membawa penonton mengikuti naratif visual sebelum muzik kembali bersambung.

Antara detik menarik dalam set berkenaan ialah apabila KSHMR turut menyelitkan ‘Like A G6’, lagu hit Far East Movement yang menampilkan The Cataracs dan Dev.
KSHMR sebelum ini merupakan sebahagian daripada kumpulan The Cataracs bersama David ‘Clyde’ Singer-Vine sebelum meneruskan kerjaya sebagai artis solo di bawah nama KSHMR.

Malam kedua Borderland Music Festival turut menyaksikan Jovynn mengambil alih slot Mariana Bo pada saat-saat akhir, selain persembahan Juelz, Tiger Burger & Friends, Ezra Hazard, Hades dan Pandamax.
Menurut pasukan festival, sekitar 16,000 pengunjung menghadiri Borderland Music Festival 2026 sepanjang dua malam penganjurannya.
Menjelang penghujung acara, skrin utama turut memaparkan ‘TOK by Borderland’ bersama perkataan ‘March 2027’, memberi petunjuk kepada satu lagi projek atau acara yang bakal dibawakan Borderland tahun depan.
Bagaimanapun, tiada butiran lanjut mengenai ‘TOK by Borderland’ didedahkan pada malam berkenaan.
Oleh Adele Rissa





