SIBU: Pengambilalihan jalan balak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah oleh kerajaan negeri dilihat mampu menyediakan akses lebih segera kepada penduduk sementara menunggu pembinaan jalan utama Nanga Ngungun-Nanga Jagau disiapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, laluan berkenaan kini menjadi antara akses penting penduduk dari Pasar Kanowit menuju ke Jagau, termasuk komuniti di kawasan SPS Jagau.
Menurutnya, jalan balak berkenaan mempunyai jarak kira-kira 30 kilometer dari Simpang Dap ke Simpang Jagau, manakala laluan dari Simpang Jagau ke kawasan SPS pula kira-kira tujuh kilometer.
“Laluan ini digunakan penduduk di kawasan SPS Jagau termasuk Rumah Panjang Magal, Rumah Panjang Jimmy dan Rumah Panjang Ujang.
“Sekiranya jalan tersebut diambil alih oleh kerajaan, ia boleh digunakan dalam tempoh yang lebih dekat sementara menunggu pembinaan jalan utama dari Nanga Ngungun ke Jagau di sebelah kiri Sungai Ngemah yang mungkin mengambil masa untuk disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Bersama Media anjuran Pusat Khidmat N49 Ngemah di sebuah hotel di sini, semalam.
Anyi berkata, usaha pengambilalihan jalan balak oleh kerajaan negeri bukan hanya melibatkan kawasan DUN Ngemah, sebaliknya merupakan usaha yang merangkumi jalan balak di seluruh Sarawak.
Katanya, beliau menyambut baik usaha berkenaan memandangkan laluan tersebut kini memainkan peranan penting sebagai penghubung penduduk di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Anyi berkata, projek jalan sepanjang tujuh kilometer dari jalan balak ke Jagau berada di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MIRRDA).
“Kerja ukur dan penentuan jajaran telah selesai dan projek itu dijangka ditender dalam masa terdekat,” katanya.
Mengenai status pembinaan jalan Nanga Ngungun-Nanga Jagau, beliau berkata projek tersebut dibahagikan kepada empat bahagian dengan pelaksanaan di bawah beberapa agensi dan kementerian.
Bahagian pertama membabitkan jalan Nanga Ngungun-Nanga Bat bernilai RM38 juta di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kini dalam proses untuk dilaksanakan.
Bagaimanapun, katanya, projek berkenaan masih menunggu pembayaran pampasan kepada 11 individu yang belum menerima bayaran, termasuk berkaitan pengambilan sebahagian tanah serta tanaman buah-buahan.
“Bahagian kedua ialah jalan Nanga Bat-Nanga Pra sepanjang sembilan kilometer dengan kos RM108 juta di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).
“Projek ini telah siap sepenuhnya dan dijangka dirasmikan dalam masa terdekat,” katanya.
Bagi bahagian ketiga, Anyi berkata jalan Nanga Pra-Nanga Jagau bernilai RM108 juta di bawah KKDW baru selesai menjalani kerja ukur dan kini dalam proses penentuan jajaran sebelum ditender pada fasa keempat tahun ini.
Sementara itu, jalan Nanga Jagau-Rantau Lugai sepanjang lapan kilometer di bawah MIRRDA masih belum menjalani kerja ukur, namun telah dimasukkan dalam perancangan agensi berkenaan.
Anyi berkata, pembangunan jaringan jalan raya perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan semua kawasan dan rumah panjang di DUN N49 Ngemah mempunyai akses yang lebih baik.
Beliau berharap dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, semua kawasan dan rumah panjang di Ngemah dapat mempunyai akses jalan raya yang sempurna.
“Sekiranya saya masih dicalonkan, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan pembinaan jalan sepanjang kira-kira 40 kilometer itu dapat direalisasikan, bukan sahaja di kawasan Sungai Ngemah tetapi juga di sepanjang Batang Rajang, termasuk laluan dari Batu Luking hingga ke Rantau Dilang seperti yang dirancang,” katanya.
Oleh Tarani Lanting




