Ular sawa ‘ceroboh’ rumah, ditemui atas siling dapur

Facebook
WhatsApp
ULAR sawa ditangkap menggunakan alat penjerut ular. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Penghuni rumah di Jalan Lajung dikejutkan dengan penemuan seekor ular sawa sepanjang kira-kira dua meter di atas siling dapur rumah mereka awal pagi, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.40 pagi sebelum operasi dimulakan lima minit kemudian.

“Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Tamizi bersama dua anggota bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

“Sampai di lokasi, didapati seekor ular sawa berukuran lebih kurang dua meter berada di atas siling dapur rumah pelapor,” katanya.

Katanya, kedudukan reptilia tersebut di bahagian siling memerlukan pasukan bomba melakukan penilaian terlebih dahulu sebelum tindakan menangkapnya dilakukan.

“Setelah membuat penilaian awal, anggota bomba bertindak menangkap ular tersebut dengan penjerut sehingga berjaya.

“Tindakan pantas membolehkan ular sawa ditangkap menggunakan alat penjerut ular dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan,” katanya.

Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.56 pagi.

Oleh Earl Anek