20 glucometer tingkat kemudahan pemantauan gula darah di Klinik Kesihatan Bintangor

Facebook
WhatsApp
ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing bergambar bersama yang lain di Klinik Kesihatan Bintangor. Foto Pusat Khidmat Meradong

BINTANGOR: Kemudahan pemantauan paras gula dalam darah di Klinik Kesihatan Bintangor diperkukuh menerusi penyerahan 20 unit mesin glucometer bagi menyokong perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penyediaan peralatan tersebut merupakan antara usaha membantu meningkatkan kemudahan yang boleh dimanfaatkan dalam pemantauan kesihatan pesakit.

“Penyerahan mesin glucometer merupakan salah satu usaha untuk membantu meningkatkan kemudahan serta perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat, khususnya dalam pemantauan paras gula dalam darah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri penyerahan ringkas 20 unit mesin glucometer kepada Klinik Kesihatan Bintangor, baru-baru ini.

Dalam kunjungan sama, Ding turut meninjau kantin klinik tersebut serta beberapa kemudahan yang telah siap dinaik taraf bagi melihat sendiri hasil kerja penambahbaikan yang dilaksanakan.

Antara kerja yang telah disiapkan ialah menaik taraf pendawaian bekalan elektrik, pemasangan penghawa dingin dan kipas serta penggantian semua cermin dan pintu di Klinik Kesihatan Bintangor.

Katanya, penambahbaikan kemudahan fizikal bukan sahaja penting untuk mewujudkan persekitaran lebih selesa kepada pesakit dan pengunjung, malah dapat menyediakan suasana kerja yang lebih baik kepada petugas kesihatan.

“Kemudahan yang lebih selesa dan baik ini diharap dapat memberi manfaat kepada pesakit serta meningkatkan keselesaan warga kerja Klinik Kesihatan Bintangor dalam menjalankan tugas seharian,” katanya.

Ding berharap setiap kemudahan yang dinaik taraf dan sumbangan peralatan yang disalurkan dapat digunakan secara optimum bagi menyokong usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di Meradong.

“Segala kemudahan dan sumbangan yang disalurkan diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya demi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan Meradong,” katanya lagi.

Turut hadir, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bahagian Sarikei yang juga Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Ley Chee Hua; Timbalan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Dr Wong Wei Wei; Setiausaha Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Felix Francis dan Bendahari Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Lee Ngin Soon.

Oleh Earl Anek