MAMC26 platform perkasa pembangunan Muaythai akar umbi, belia

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM....Datuk Sebastian Ting Chiew Yew merakamkan gambar kenangan bersama peserta cabaran Muaythai Amatur Miri 2026 (MAMC26): The Return yang berlangsung di Miri.

MIRI: Penganjuran Cabaran Muaythai Amatur Miri 2026 (MAMC26): ‘The Return’ bukan sahaja menjadi medan menguji kehebatan atlet, malah berperanan penting dalam memperkukuh pembangunan sukan Muaythai di peringkat akar umbi dan belia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata penganjuran kejohanan itu turut mencerminkan perkembangan positif sukan Muaythai serta hubungan sukan yang semakin kukuh antara komuniti di rantau ini.

Beliau berkata, MAMC26 menghimpunkan atlet dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam dan beberapa kawasan lain.

“Lebih daripada sekadar pertandingan, MAMC26 menyediakan platform penting untuk pembangunan sukan akar umbi dan belia.

“Muaythai mengajar kita bahawa kekuatan mesti sentiasa disertai disiplin, rasa hormat dan ketabahan. Nilai-nilai ini bukan sahaja penting di gelanggang, malah membantu membentuk individu dan komuniti yang lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas menghadiri majlis pembukaan MAMC26 di sini, semalam.

Menurut Sebastian, kejohanan itu turut menyumbang kepada potensi Miri sebagai destinasi pelancongan sukan dan penganjuran acara bertaraf serantau.

Katanya, kehadiran atlet, jurulatih, keluarga dan penyokong dari pelbagai kawasan memberi limpahan positif kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pelancongan serta perniagaan tempatan.

“Acara seperti MAMC26 membantu meningkatkan potensi Miri sebagai destinasi pelancongan sukan dan acara serantau.

“Kehadiran atlet, jurulatih, keluarga dan penyokong ke bandar raya ini mewujudkan kesan positif kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pelancongan serta perniagaan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Sebastian merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, badan sukan, penaja, rakan kerjasama, pegawai pertandingan, petugas perubatan dan sukarelawan yang menjayakan kejohanan berkenaan.

Beliau turut menggesa semua atlet supaya bertanding dengan penuh keberanian, rendah hati dan rasa hormat terhadap lawan.

“Kepada semua atlet, bertandinglah dengan keberanian, rendah hati dan rasa hormat. Menang atau kalah, semoga setiap pertarungan menjadikan anda lebih kuat dan matang,” katanya.

Beliau turut berharap MAMC26 terus mencapai kejayaan serta menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan Muaythai dan penganjuran acara sukan di Miri.

Oleh Liong Chai Ling

Kuching City benam Melaka 2-1

MELAKA: Kuching City FC mencipta kemenangan bergaya apabila menewaskan Melaka dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Hang Tuah, malam