MIRI: Gerakan Pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya platform penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, bertanggungjawab, berintegriti dan mempunyai semangat kepimpinan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, berkata nilai yang diterapkan menerusi gerakan itu amat penting dalam melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pengakap Daerah Miri 2026 di sini, malam tadi.
Menurutnya, slogan Pengakap, ‘Be Prepared’ atau ‘Sentiasa Bersedia’, perlu dijadikan pegangan dalam kehidupan seharian.
“Bersedia menghadapi cabaran, bersedia memikul tanggungjawab dan bersedia membantu apabila masyarakat memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak kini berkembang pesat menerusi kemajuan teknologi, pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekonomi digital.
Namun, katanya, pembangunan paling penting ialah pembangunan manusia yang memiliki ilmu pengetahuan, nilai murni, integriti dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Kita mahu generasi muda yang bukan sahaja berilmu dan berjaya, tetapi mempunyai nilai, integriti dan rasa tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat merakamkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan penghargaan pada majlis berkenaan, sambil mengingatkan bahawa pengiktirafan diterima bukanlah penamat, sebaliknya amanah untuk terus memberikan yang terbaik.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pesuruhjaya, pemimpin Pengakap, guru, ibu bapa serta semua pihak yang sentiasa menyokong perkembangan Gerakan Pengakap.
“Kepada adik-adik Pengakap, teruskan belajar, berani bermimpi besar, jangan lupa asal usul dan gunakan kejayaan untuk membantu orang lain.
“Uniform Pengakap mungkin suatu hari nanti tidak lagi dipakai, tetapi nilai Pengakap harus kekal dalam diri sepanjang hayat.
Majlis itu diadakan bagi menghargai pencapaian serta komitmen para pemimpin dan ahli Pengakap sepanjang tahun ini.
Oleh Liong Chai Ling




