Sekolah terjejas jerebu di Sarawak dibuka semula Isnin kecuali Serian, Lubok Antu

Facebook
WhatsApp
SUASANA persekolahan. Foto janaan AI

KUCHING: Semua sekolah rendah dan menengah di bawah 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sarawak akan beroperasi seperti biasa mulai Isnin, 14 September, susulan pemantauan berterusan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan rasmi hari ini berkata, sekolah di bawah PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Sri Aman, Kanowit, Julau, Meradong, Bintulu dan Tatau/Sebauh akan dibuka semula.

“Bagaimanapun, penutupan sementara sekolah di bawah PPD Serian dan PPD Lubok Antu dilanjutkan sehingga kedua-dua daerah berkenaan merekodkan bacaan IPU di bawah 200.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan bacaan IPU melalui Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar, iaitu Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), serta laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengagihkan pelitup muka dalam masa terdekat kepada semua murid, guru dan kakitangan di sekolah yang dikenal pasti terjejas teruk akibat jerebu.

JPN Sarawak turut mengingatkan pihak sekolah supaya menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100.

“Sekolah di kawasan atau daerah yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 200 pula hendaklah ditutup serta-merta, manakala guru dan kakitangan sekolah tidak perlu hadir sekiranya bacaan melebihi 500.

“Pembukaan semula sekolah pula tertakluk kepada bacaan IPU di bawah 200, dengan tindakan persediaan boleh diambil sekiranya trend bacaan menunjukkan penurunan.

“Penutupan sementara sekolah juga boleh dilaksanakan berdasarkan saranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari semasa ke semasa,” jelasnya.

JPN Sarawak turut mengingatkan semua PPD dan institusi pendidikan supaya memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas atau jerebu, selain memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi.

“Murid juga dinasihatkan memakai pelitup muka dan minum air dengan kerap bagi membantu mengawal suhu badan.

“Bagi murid asrama, pihak sekolah perlu membekalkan air minuman sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain untuk mendapatkannya.

“Institusi pendidikan turut diminta sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan kepada murid akibat jerebu,” tambahnya.

Mengulas lanjut, pada masa sama, ibu bapa atau penjaga dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak, dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

“Semua institusi pendidikan di bawah seliaannya perlu terus merujuk APIMS bagi memantau tahap IPU di kawasan masing-masing serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Kuching City benam Melaka 2-1

MELAKA: Kuching City FC mencipta kemenangan bergaya apabila menewaskan Melaka dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Hang Tuah, malam