Peminat aktiviti lasak dijemput sertai Ekspedisi Antarabangsa Maludam 2026

Facebook
WhatsApp
Penganjuran Ekspedisi Antarabangsa Maludam 2026 di Dataran Budaya, Maludam pada 23 hingga 25 Oktober nanti. Foto: Maludam National Park

MALUDAM: Peminat aktiviti lasak dan pencinta alam berpeluang menyertai Ekspedisi Antarabangsa Maludam 2026 yang bakal berlangsung selama tiga hari, dari 23 hingga 25 Oktober ini di Dataran Budaya, Maludam.

Program anjuran Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) itu mengetengahkan pengalaman pengembaraan yang menggabungkan elemen ekopelancongan, makanan tradisional, sejarah dan warisan serta pengalaman kebudayaan masyarakat setempat.

Penganjur dalam kenyataannya berkata, peserta akan dibawa meneroka keunikan Maludam menerusi pelbagai lokasi terpilih sambil menyertai cabaran yang menguji semangat berpasukan, kemahiran menyelesaikan masalah, ketahanan fizikal, pemikiran strategik dan kesedaran terhadap alam sekitar.

“Ekspedisi Antarabangsa Maludam 2026 bukan sekadar pertandingan, malah menjadi platform untuk peserta mengenali keindahan alam semula jadi, budaya, makanan tradisional, sejarah, warisan dan gaya hidup unik komuniti tempatan,” menurut kenyataan itu.

Pertandingan berkenaan terbuka kepada warganegara Malaysia dan bukan warganegara berusia antara 18 hingga 55 tahun, dengan penyertaan dihadkan kepada 175 peserta.

Setiap pasukan pula perlu terdiri daripada lima orang, manakala kategori yang ditawarkan merangkumi Terbuka, Lelaki, Wanita dan Campuran.

Menariknya, setiap peserta bakal menerima baju-T, beg cenderamata, pingat penamat serta e-sijil penyertaan, selain berpeluang merebut hadiah wang tunai yang menarik.

Bagi pertandingan utama, hadiah ditawarkan ialah RM5,000 untuk tempat pertama, RM3,000 tempat kedua, RM2,000 tempat ketiga, RM700 tempat keempat dan RM600 tempat kelima, selain hadiah menarik lain.

Yuran penyertaan ditetapkan pada RM60 bagi warganegara Malaysia, manakala RM70 bagi bukan warganegara.

Pendaftaran dibuka sehingga 28 September 2026 atau sehingga semua slot penyertaan dipenuhi.

Peserta yang menyertai program itu juga diwajibkan berada di Dataran Budaya, Maludam sepanjang program dari 23 hingga 25 Oktober sehingga majlis penyampaian hadiah dan pingat selesai sepenuhnya.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pertanyaan menerusi WhatsApp kepada Alice (011-25082238), Faiznur (014-8946654) atau Bana (014-5781987).

Dengan konsep yang menggabungkan pengembaraan, alam sekitar dan warisan, Maludam International Explorace 2026 dijangka menjadi antara program yang menarik perhatian peserta tempatan dan antarabangsa untuk meneroka khazanah unik Sarawak.

Oleh Adi Safarman