KPT diminta pertimbang tiket penerbangan percuma untuk pelajar B40 – Ahmad Zahid

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyelaraskan dengan universiti bagi mempertimbang penyediaan tiket penerbangan percuma kepada pelajar daripada keluarga B40 yang menuntut di luar wilayah asal mereka.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk pertimbangan.

“…dan saya telah mengarahkan semua Menteri Besar (daripada parti UMNO) seperti Johor, Negeri Sembilan, Ketua Menteri Melaka, Pahang dan Perak untuk mengeluarkan tiket percuma kepada pelajar B40 dari negeri berkenaan yang belajar di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam, perwakilan UMNO Sabah Azuwan Marjan@Norjan membangkitkan isu harga tiket penerbangan yang tinggi sehingga membebankan pelajar B40 dari Sabah dan Sarawak.

PAU 2026 melabuhkan tirai hari ini selepas berlangsung selama empat hari. – Bernama