KOTA BHARU: Jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, dijangka tiba di Kelantan pagi esok.
Bapa Allahyarham, Kamaruddin Salleh, 69, berkata sebaik tiba dari Miri, Sarawak jenazah akan terus dibawa ke Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper di sini.
“Mengikut jangkaan setakat ini, jenazah akan tiba pagi esok sebelum dibawa ke masjid untuk urusan solat jenazah kira-kira 12.00 tengah hari.
“Bagaimanapun, masa berkenaan adalah jangkaan dan mungkin berubah bergantung kepada urusan hospital, dokumentasi serta persediaan terhadap jenazah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang telah diperoleh dan proses penyerahan jasad akan dilakukan hari ini.
Beliau berkata penyerahan jasad mangsa kepada waris akan dilakukan selepas semua proses dokumentasi berkaitan diselesaikan.
Nahas pada Selasa lepas itu meragut nyawa kesemua lima individu yang menaiki helikopter BO-105 dikendalikan Layang-Layang Aerospace selepas helikopter itu terhempas berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira 3.40 petang.
Selain Dr Ainul Baraah turut terkorban ialah Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31, dan dua jururawat, iaitu Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40. -Bernama




