Dua pasukan Sarawak mara pertandingan CanSat Asia-Pasifik

Facebook
WhatsApp
DUA pasukan yang mewakili Sarawak di pertandingan CanSat Asia-Pasifik.

KUCHING: Dua pasukan dari Sarawak melayakkan diri ke pertandingan CanSat peringkat Asia-Pasifik selepas masing-masing meraih tempat ketiga pada Malaysia Rocket CanSat Competition (MRCC) 2026 di Perak.

Menurut kenyataan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), pasukan SMK Padungan meraih tempat ketiga dalam kategori 1KM Rocket & CanSat, manakala Sekolah Seni Malaysia Sarawak menduduki tempat ketiga bagi kategori 1KM Rocket.

“Kedua-dua pasukan itu berjaya dalam peringkat akhir MRCC 2026 yang berlangsung dari 8 hingga 10 September di FELCRA Seberang, Perak.

“Kedua-duanya merupakan antara tiga pasukan Sarawak yang mara ke MRCC 2026 selepas muncul sebagai pemenang Sarawak Rocketeers CanSat Challenge (SRC) 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, pasukan SMK Penrissen turut mewakili Sarawak dalam pertandingan peringkat kebangsaan itu.

“Sepanjang pertandingan, peserta mengaplikasikan kemahiran menerusi pembentangan projek, persediaan sistem CanSat, tugasan teknikal dan pelancaran roket.

“Kejayaan itu membuka laluan kepada SMK Padungan dan Sekolah Seni Malaysia Sarawak untuk bertanding pada APRSAF-32 CanSat International Competition di Thailand dari 27 hingga 30 Oktober ini,” jelasnya.

Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, pencapaian kedua-dua pasukan itu menunjukkan keberkesanan SRC dalam memberi ruang kepada anak muda mengembangkan kemahiran dan potensi dalam bidang STEM serta teknologi aeroangkasa.

“Apabila anak muda diberikan ruang untuk meneroka dan menguji idea, mereka mampu membawa kemahiran tersebut ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Untuk rekod, Sarawak Rocketeers CanSat Challenge merupakan inisiatif TEGAS yang memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah Sarawak menerusi pembelajaran berasaskan projek dalam pembangunan CanSat dan roket, sebelum pasukan terbaik diketengahkan ke peringkat kebangsaan.

MRCC 2026 diterajui Planetarium Negara dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan kerjasama Makmal Penyelidikan Bahan Tenaga Tinggi (HEMREL), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pertandingan itu menghimpunkan 650 pelajar daripada 130 pasukan yang berdaftar di seluruh negara, manakala 425 pelajar daripada 104 pasukan layak ke peringkat akhir dan fasa pelancaran di Pasir Salak, Perak, dengan sokongan 152 mentor akademik.

Oleh Masrin Affirah

IDECS26 fokus teknologi baharu Sarawak

KUCHING: Sarawak bakal mengetengahkan perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi mendalam dan ekonomi angkasa menerusi Persidangan Ekonomi