2,600 pelajar Sarawak manfaat lesen motosikal B2 percuma

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH... Datuk Hasbi Habibollah rakam album bersama penerima lesen B2 termuda dan tertua Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen P218 Sibuti di Dewan Masyarakat Bekenu. Turut kelihatan Dato Lukanisman Awang Sauni, Datuk Rosey Yunus, Dato' Aedy Fadly Ramli dan Norizan Jili.

BEKENU: Seramai 60,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negara bakal mendapat manfaat menerusi Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) yang dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM18.5 juta.

Di Sarawak, seramai 2,600 pelajar sekolah menengah akan menerima manfaat program berkenaan yang menyediakan kemudahan mendapatkan lesen memandu motosikal Kelas B2 secara percuma.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, program itu merupakan inisiatif Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi memperluaskan akses golongan muda kepada pelesenan yang sah.

“Inisiatif ini membolehkan pelajar yang layak memperoleh lesen memandu secara percuma sebelum menamatkan persekolahan.

“Kita mahu mereka melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih bersedia, mempunyai kelayakan yang diperlukan dan tidak lagi dibebani kos mendapatkan lesen selepas tamat belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen P218 Sibuti di Dewan Masyarakat Bekenu, di sini.

Tambahnya, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pengangkutan untuk memperluaskan akses rakyat kepada pelesenan yang sah.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua penerima bantuan lesen supaya mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu (ADUN) Datuk Rosey Yunus, Ketua Pengarah JPJ Malaysia Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili.

Oleh Adum Liu