SIBU: Pemberian khas interim kepada Sarawak wajar dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM1.5 bilion setahun selagi formula tetap bagi menentukan jumlah itu belum dimuktamadkan.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ir. Christopher Gira Sambang berkata, jumlah berkenaan adalah wajar memandangkan Sarawak ketika ini menerima RM600 juta setahun, manakala pemberian khas interim kepada Sabah telah dinaikkan kepada RM1.5 bilion.
“Namun, isu utama bukan sekadar menyamakan jumlah dengan Sabah kerana pemberian khas ini ialah hak perlembagaan Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, bukannya bantuan ihsan atau hadiah daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Sarawak hari ini.
Gira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin berkata, formula menentukan pemberian khas kepada Sarawak perlu telus, boleh diaudit serta dipersetujui bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.
Menurut beliau, antara perkara yang wajar diambil kira dalam formula itu termasuk hasil cukai dan pendapatan Persekutuan yang dikutip dari Sarawak, sumbangan negeri kepada ekonomi negara termasuk sektor minyak dan gas, keluasan wilayah serta kos penyampaian perkhidmatan di kawasan luar bandar.
“Selain itu, jumlah penduduk, keperluan pembangunan infrastruktur, kadar inflasi dan perubahan nilai wang serta jurang pembangunan antara Sarawak dengan wilayah lain juga perlu diambil kira.
“Semakan pula hendaklah dilaksanakan secara konsisten setiap lima tahun sebagaimana semangat Perkara 112D, bukan dibiarkan tanpa formula yang jelas,” katanya.
Beliau berkata sebagai langkah interim, jumlah pemberian khas kepada Sarawak sewajarnya sekurang-kurangnya setanding dengan Sabah, namun formula bagi Sarawak perlu mempunyai pendekatan tersendiri berdasarkan keadaan dan asas perlembagaan negeri itu.
Gira berkata formula berkenaan juga perlu mengambil kira hasil sebenar yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari Sarawak serta sumbangan besar sumber asli negeri itu kepada pembangunan negara.
“Kita tidak sepatutnya hanya diberikan satu angka tanpa mengetahui asas pengiraannya,” katanya.
Mengulas keperluan menggantikan pendekatan interim dengan formula tetap, beliau berkata perkara itu perlu diselesaikan supaya Sarawak mempunyai mekanisme yang jelas dalam menentukan jumlah pemberian khas setiap tahun.
“Pendekatan interim tidak boleh berterusan tanpa tempoh penyelesaian yang jelas. Sarawak memerlukan formula tetap supaya jumlah pemberian khas dapat ditentukan secara telus, konsisten dan boleh dirancang dalam belanjawan pembangunan negeri.
“Formula itu boleh disemak setiap lima tahun berdasarkan hasil semasa, inflasi dan keperluan pembangunan,” katanya.
Justeru beliau berharap Perdana Menteri akan mengumumkan peningkatan yang bermakna kepada pemberian khas Sarawak pada sambutan Hari Malaysia, 16 September ini, dengan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion sebagai jumlah interim.
Lebih penting katanya, Kerajaan Persekutuan perlu menetapkan garis masa yang jelas bagi memuktamadkan formula tetap tersebut.
“Pengumuman pada Hari Malaysia seharusnya mencerminkan pengiktirafan terhadap hak Sarawak sebagai wilayah yang bersama-sama membentuk Malaysia, bukan sekadar pengumuman kewangan tahunan,” katanya.
Oleh Tarani Lanting




