Eksklusif: Penambahan kerusi Parlimen sahaja tidak cukup, Borneo perlu satu pertiga

Facebook
WhatsApp
DATO Lo Khere Chiang.

KUCHING: Sarawak dan Sabah perlu terus memperjuangkan perwakilan satu pertiga kerusi di Parlimen dan tidak sekadar menerima pertambahan kerusi yang ditawarkan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Lo Khere Chiang, berkata isu sebenar bukan sekadar berapa banyak kerusi tambahan yang akan diberikan kepada kedua-dua negeri berkenaan, sebaliknya memastikan Borneo mempunyai perwakilan yang mencerminkan kedudukannya dalam pembentukan Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang berkata, persetujuan Perdana Menteri untuk meningkatkan jumlah kerusi bagi Sarawak dan Sabah sememangnya wajar dialu-alukan.

PERSIDANGAN Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak seharusnya menyebabkan tuntutan terhadap perwakilan satu pertiga diketepikan.

“Persoalan sebenar ialah mengenai perwakilan satu pertiga Borneo di Parlimen.

“Perlindungan satu pertiga itu penting kerana ia memberikan Sabah dan Sarawak perlindungan perlembagaan yang bermakna dalam Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.

Menurut Lo, perwakilan satu pertiga penting bagi memastikan Sabah dan Sarawak mempunyai keseimbangan perlembagaan dalam Persekutuan seperti yang dibayangkan ketika Malaysia dibentuk.

“Oleh itu, saya berpandangan bahawa Sarawak dan Sabah perlu terus memperjuangkan perwakilan satu pertiga tersebut, bukannya sekadar menerima pertambahan kerusi yang mungkin masih menyebabkan Borneo tidak mempunyai keseimbangan perlembagaan seperti yang dibayangkan ketika Malaysia dibentuk.

“Kita tidak sepatutnya hanya meminta Putrajaya memberikan lebih banyak kerusi kepada kita.

“Sebaliknya, kita perlu meminta Putrajaya mengembalikan hak perwakilan satu pertiga Borneo yang sewajarnya,” katanya.

Ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi, dengan 166 kerusi atau kira-kira 75 peratus diperuntukkan kepada Semenanjung Malaysia, manakala 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo, masing-masing 31 kerusi bagi Sarawak dan 25 kerusi bagi Sabah.

Bagi mencapai sekurang-kurangnya 35 peratus perwakilan di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah memerlukan tambahan 21 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri itu sebanyak 77.

Lo berkata, pertambahan kerusi semata-mata tidak seharusnya menjadi matlamat utama kerana tuntutan yang lebih penting adalah memastikan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan terus dilindungi melalui perwakilan yang sewajarnya.

Oleh Shahrul Qaizat

POLYCC perkukuh peranan sebagai peneraju TVET

KOTA SAMARAHAN: Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara