SARIKEI: Pemberian khas RM600 juta yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak bagi 2026 disifatkan terlalu kecil berbanding jumlah yang sewajarnya diterima negeri ini, kata Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab.
Katanya, meskipun tidak mahu menetapkan angka tertentu yang patut diterima Sarawak, jumlah sedia ada tidak mencerminkan keperluan sebenar negeri ini, khususnya mengambil kira keluasan, keperluan pembangunan dan sumbangannya kepada kewangan Persekutuan.
“Dalam Belanjawan 2026, Kerajaan Persekutuan menetapkan pemberian khas kepada Sarawak hanya sebanyak RM600 juta.
“Saya tidak dapat komen tentang berapa sepatutnya Sarawak terima, tetapi jumlah RM600 juta yang diluluskan untuk 2026 adalah tersangat sedikit berbanding dengan jumlah yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Yusuf yang juga Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Meradong berkata demikian ketika diminta mengulas jumlah pemberian khas interim yang sewajarnya diterima Sarawak menjelang pengumuman yang dijangka dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
Tambahnya, sebarang formula baharu bagi menentukan pemberian khas kepada Sarawak perlu mengambil kira beberapa faktor penting dan bukan ditentukan berdasarkan satu pertimbangan sahaja.
“Formula pemberian khas mestilah mengambilkira beberapa faktor antara lain, keluasan dan keadaan geografi Sarawak, keperluan untuk memesatkan pembangunan infrastruktur Sarawak supaya setanding dengan negeri-negeri di Semenanjung dan sumbangan hasil Sarawak kepada kewangan Persekutuan,” katanya.
Malah, beliau berpandangan Sarawak sewajarnya menerima jumlah pemberian khas yang lebih besar berbanding Sabah berdasarkan keluasan negeri serta sumbangan hasilnya.
“Setuju, Sarawak patut menerima jumlah pemberian khas yang lebih besar daripada jumlah yang diterima oleh Sabah kerana keluasan negeri yang lebih besar dan sumbangan hasil yang lebih banyak,” katanya lagi.
Yusuf turut bersetuju bahawa pendekatan interim tidak seharusnya berterusan tanpa penyelesaian muktamad, sebaliknya satu formula tetap yang jelas dan dipersetujui bersama perlu diwujudkan.
“Setuju, kerana setelah 63 tahun membentuk Malaysia, formula pemberian khas mesti dimuktamadkan dan dipersetujui bersama,” katanya.
Mengulas harapannya terhadap pengumuman Perdana Menteri pada 16 September ini, beliau mahu Putrajaya mengumumkan pemberian khas yang jauh lebih tinggi daripada RM600 juta, selain mengambil langkah lanjut berkaitan hak dan kepentingan Sarawak.
“Saya berharap PMX akan memaklumkan pemberian khas yang jauh lebih besar daripada RM600 juta, kelulusan kuasa otonomi untuk kesihatan, pendidikan dan minyak/gas dan pertambahan kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah,” katanya.
Oleh Earl Anek





