0.4 hektar belukar terbakar di Jalan Bukit Penyauk Skait

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar membabitkan kawasan seluas sekitar 0.4 hektar berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba di Jalan Bukit Penyauk, Skait, hari ini. Foto: BBP Sri Aman

LINGGA: Kebakaran belukar membabitkan kawasan seluas sekitar 0.4 hektar berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman di Jalan Bukit Penyauk, Skait, hari ini.

Menurut kenyataan media BBP Sri Aman, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 1.44 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak sekitar 26 kilometer dari balai.

Operasi diketuai PBK I Mohd Fadhli Buyong dengan kekuatan anggota menggunakan sebuah Toyota Hilux dan kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati kebakaran seperti dilaporkan berlaku di kawasan belukar dengan keluasan sekitar satu ekar.

PADAM… Anggota bomba memadam kebakaran belukar di Jalan Bukit Penyauk, Skait, Lingga, yang membabitkan kawasan sekitar 0.4 hektar, hari ini.

Selepas membuat penilaian keadaan, anggota bomba lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) bertindak membentangkan aliran hos dan menggunakan dua nozel bagi mengawal serta memadam kebakaran.

Pasukan turut menggunakan sebuah pam angkut GP10/10 dengan sumber air terbuka dari parit berhampiran bagi melakukan kerja-kerja fire-break selain memadamkan api sehingga operasi selesai.

BBP Sri Aman memaklumkan anggaran keluasan sebenar kawasan yang terbakar ialah 0.4 hektar dan keseluruhan kawasan berkenaan berjaya dipadamkan.

Tiada pegawai kanan atau agensi lain dilaporkan hadir di lokasi sepanjang operasi berkenaan.

Bagaimanapun, operasi berdepan beberapa kekangan termasuk liputan komunikasi yang kurang memuaskan, akses ke lokasi yang sempit dan tidak sesuai untuk jentera besar atau berat, selain sumber air yang terhad kerana hanya bergantung kepada parit berhampiran.

Tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Oleh Adi Safarman