myJICA kongsi ilmu kesihatan awam, peluang pembangunan kapasiti dengan pelajar Unimas

Facebook
WhatsApp
NORAZIZUL bersama Ketua Perwakilan JICA Malaysia dan barisan kepimpinan myJICA.

KOTA SAMARAHAN: Persatuan Alumni Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun Malaysia (myJICA) akan menjadikan Program Pimpin & Inspirasi di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 20 September ini sebagai platform perkongsian pengetahuan dalam bidang kesihatan awam serta pendedahan kepada peluang pembangunan kapasiti untuk pelajar.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak itu dijangka dirasmikan oleh Presiden myJICA, Norazizul Abdul Aziz, dan turut dihadiri wakil APM Sarawak, Kadet APM Unimas, barisan kepimpinan tertinggi Exco myJICA serta alumni myJICA Sarawak.

Norazizul berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif myJICA untuk mendekati komuniti menerusi perkongsian pengetahuan dan pengalaman, khususnya dalam bidang kesihatan awam.

NORAZIZUL bersama alumni myJICA Sarawak pada majlis perjumpaan yang lalu.

Menurutnya, program itu turut memberi peluang kepada pelajar mengenali pelbagai program myJICA yang menawarkan ruang pembangunan kapasiti dan pengembangan pengetahuan.

“Program ini merupakan salah satu inisiatif myJICA kepada komuniti untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kesihatan awam, di samping memperkenalkan peluang pembangunan kapasiti melalui pelbagai program myJICA kepada para pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung penganjuran Program Pimpin & Inspirasi di Unimas pada 20 September ini.

NORAZIZUL bersama peserta Bengkel KKP di Sri Aman.

Program berkenaan turut disusuli perjumpaan khas bersama alumni myJICA Sarawak sebagai platform untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh jaringan dalam kalangan bekas peserta program agensi berkenaan.

myJICA ditubuhkan dan didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 1988 sebagai penghubung dalam usaha mempromosikan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Jepun.