PETALING JAYA: Sekalipun naratif lelaki Tionghoa dengan tiga anak angkat berketurunan Melayu ini telah banyak kali dikongsikan – malah pernah diangkat ke layar perak menerusi judul “Abah Saya, Uncle Mike” yang ditayangkan pada Ogos 2025 – tidak ada salahnya jika kisah beliau diulang sorot bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Malah, Michael Tong Wau Siong, 57, atau lebih mesra dengan panggilan Uncle Mike, barangkali antara individu terbaik untuk diteladani oleh rakyat berbilang kaum di negara ini kerana, kisah hidup beliau bukan sahaja membuktikan kasih sayang melangkaui pertalian darah, tetapi juga menunjukkan persefahaman antara kaum dan agama bukan sesuatu yang sukar dilakukan, asal saja dipupuk sedari kecil.
Berpeluang menemu bual penerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 itu di sini baru-baru ini, penulis dapat merumuskan kisah Uncle Mike dan tiga anak angkatnya, iaitu Rafei Ahmad Fauzi, 31 serta adik-adiknya Rasyid, 30 dan Abdul Rahman, 26, tidak ubah seperti masuk rami bercampur rami, masuk berkawan bercampur berkawan kerana, identiti kaum dan agama masing-masing tidak hilang walaupun tinggal sebumbung sebagai sebuah keluarga.

MENERIMA PENDEDAHAN AWAL
Berkongsi kisah kesediaannya menjadi “ibu dan ayah” kepada tiga beradik yatim piatu tersebut kira-kira 18 tahun lalu, Uncle Mike berkata beliau tidak asing dengan budaya orang Melayu serta agama Islam kerana dibesarkan dalam persekitaran majmuk termasuk bersekolah di sekolah kebangsaan.
“Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya suka mendengar ceramah ustaz semasa kelas pendidikan agama. Masa itu saya diajak oleh rakan-rakan beragama Islam untuk masuk kelas Pendidikan Agama Islam sebab kami yang bukan Muslim tidak ada kelas.
“Ustaz pula sangat baik dan mengalu-alukan kehadiran kami membuatkan saya sangat selesa. Masih ingat lagi ustaz sering bercerita tentang kisah Nabi Muhammad SAW yang suka menolong orang,” kata anak jati Kuala Lumpur yang dilahirkan di Jinjang, Kepong ini.
Menurutnya, dari situ beliau mengetahui serba sedikit tentang agama Islam termasuk soal halal dan haram.
“Pada hari Ahad saya akan ke gereja atau ikut ibu dan ayah ke tokong. Jadi, dari situ saya belajar setiap agama mahukan pengikut masing-masing melakukan kebaikan, dan kita semua serta segala apa yang ada di dunia ini diciptakan oleh Tuhan,” ujarnya.
DETIK PERTEMUAN
Mengimbau kembali saat pertemuan dengan anak angkatnya, Uncle Mike berkata waktu itu beliau aktif melakukan kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawanan selepas menganggotai sebuah kelab permotoran.
“Dalam menjalankan misi ini banyak tempat saya dan rakan telah pergi antaranya rumah orang tua, rumah asnaf serta anak-anak yatim. Suatu hari, semasa mengunjungi rumah anak yatim di Gombak, saya ternampak seorang kanak-kanak lelaki (Rafei) yang mengasingkan diri. Dia tidak seperti kanak-kanak lain, ceria melakukan aktiviti luar, sebaliknya cuma berkurung di dalam bilik.
“Timbul rasa ingin tahu saya, dan menurut Umi (individu yang menguruskan rumah anak yatim itu), Rafei tidak mahu bersekolah,” katanya.
Entah kenapa, sesuatu pada diri Rafei menyentuh naluri kebapaan Uncle Mike yang kemudian menjadikan kanak-kanak berusia 12 tahun itu sebagai anak angkat.
Beliau yang tidak mahu Rafei ketinggalan dalam pelajaran berusaha memujuk anak angkatnya itu agar ke sekolah. Saban hari Uncle Mike akan mengambil Rafei di rumah kebajikan berkenaan dan membawanya ke sekolah selain mendaftarkannya mengikuti kelas tambahan memandangkan Rafei sudah lama tidak bersekolah.
Episod baharu dalam kehidupan dua beranak ini bermula tidak lama kemudian, apabila Uncle Mike disarankan oleh Umi agar membawa Rafei pulang dan tinggal bersama-sama dengannya bagi memudahkan beliau menguruskan hal ehwal persekolahan anak angkatnya itu.
“Masa Umi cadangkan perkara itu saya terkejut dan mengambil masa untuk memikirkan sedalam-dalamnya. Namun saya cekalkan hati dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan. Mungkin inilah yang dikatakan percaturan Tuhan.
“Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan saya percaya Tuhan juga sedang menguji saya,” katanya, menambah ketika itu beliau teringat akan kata-kata guru agama ketika di sekolah rendah mengenai qadak dan qadar.
Menurut Uncle Mike lagi, yang membuatkan beliau nekad menjaga Rafei adalah perasaan risau dan bimbang akan nasib kanak-kanak itu jika dia tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Selepas kira-kira setahun menjaga Rafei, Uncle Mike secara tidak sengaja terbaca catatan anak angkatnya itu tentang dua adiknya yang ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Klang. Luahan hati Rafei tentang kerinduan terhadap arwah ibu bapa serta adik-adiknya meruntun hati Uncle Mike, mendorong lelaki itu untuk menyatukan kembali Rafei dengan Rashid dan Abdul Rahman.
“Saya memang tidak tahu tentang Rashid dan Abdul Rahman kerana Rafei tidak pernah bercerita tentang adik-adiknya sehinggalah saya terjumpa sekeping kertas yang digulung. Apabila saya buka gulungan kertas itu, rupa-rupanya luahan hati Rafei,” jelas Uncle Mike.
CABARAN
Mengenang kembali memori sepanjang 18 tahun membesarkan tiga anak angkatnya, Uncle Mike berkata seperti ibu bapa lain, beliau juga berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya dalam soal agama.
“Semasa mereka meningkat remaja biasalah pasti ada macam-macam perangai. Ada sekali anak bongsu (Abdul Rahman) sedang leka menonton televisyen, jadi saya tanya dia kenapa tidak solat sedangkan dua abangnya sudah sembahyang.
“Abdul Rahman jawab tidak mengapa dan memberikan alasan dalam Islam boleh menunaikan solat secara jamak dan sekalikan (himpunkan) waktu solat. Dia ingat saya ini ‘apek Cina’ yang tidak tahu mengenai solat. Saya kemudian meminta ustaz menerangkan perkara itu kepadanya,” katanya tersenyum mengimbas kenangan itu.
Walaupun beliau sendiri mengamalkan ajaran Buddha, Uncle Mike berusaha memastikan kesemua anaknya memperoleh pendidikan agama Islam yang cukup termasuk menyediakan seorang guru untuk mengajar tiga beradik itu membaca al-Quran.
Cabaran lain kata Uncle Mike adalah hakikat beliau seorang bujang namun perlu memainkan peranan sebagai ibu dan juga ayah kepada tiga anak lelaki yang sedang meningkat remaja.
“Daripada tidak tahu memasak, saya belajar memasak menggunakan resipi daripada YouTube selain buku resipi di kedai-kedai buku. Dulu, buku resipi yang dijual tidak dibalut plastik seperti sekarang, jadi dapat baca dan hafal resipi,” ujarnya, menambah anak-anaknya gemar makan ayam masak merah, kari ayam dan ayam goreng.
REZEKI YANG TIDAK PUTUS
Mengakui Rafei, Rashid dan Abdul Rahman sebagai anak-anak yang baik, Uncle Mike yang juga seorang usahawan, berkata sepanjang membesarkan mereka, rezekinya tidak pernah putus.
“Saya percaya setiap kebaikan pasti dibalas Tuhan. Jangan takut untuk berbuat baik. Sewaktu COVID-19 pun, walau kita diuji dengan pandemik, saya tetap ada peluang pekerjaan untuk terus menyara anak-anak,” katanya yang percaya pada ketentuan takdir.
Kini Rafei, Rashid dan Abdul Rahman mengusahakan perniagaan kafe masing-masing. Selain itu, Rafei dan Abdul Rahman juga sudah berumah tangga. Kehidupan Uncle Mika kini bertambah meriah dengan kehadiran empat cucu yang menjadi penghiburnya.
Menyifatkan tugasnya menjaga tiga beradik yatim piatu itu sudah selesai, Uncle Mike berharap didikannya akan kekal dalam diri ketiga-tiga mereka, selain ingin melihat anak-anaknya terus berjaya dan menjadi insan yang lebih baik.
“Bagi saya, kita semua tidak ada perbezaan pun. Darah yang mengalir dalam tubuh kita semua berwarna merah. Tidak kira kita bangsa apa, agama apa, warna darah kita tetap sama,” tegasnya.
“FRIENDS OF ORPHANCARE”
Melihat pada bakti yang dicurahkan oleh Uncle Mike dalam membantu anak-anak yatim khususnya, pertubuhan kebajikan Yayasan OrphanCare melantik lelaki itu sebagai “Friend of Orphancare”. Yayasan itu bermatlamat memperjuang serta memberikan peluang kepada kanak-kanak yang berada di institusi serta bayi yang dilahirkan tanpa dirancang untuk membesar dalam suasana penuh kasih sayang sebuah keluarga.
Mengulas lanjut, Uncle Mike berkata beliau menerima tawaran yayasan itu untuk menjadi rakan kerjasama kerana pertubuhan tersebut membawa satu mesej yang begitu dekat dengan hatinya, iaitu “every child needs a family”.
“Apabila kanak-kanak membesar, mereka ada banyak perkara yang ingin diluahkan. Sekiranya mereka tinggal di rumah kebajikan, adakah kanak-kanak ini akan ada tempat untuk mengadu. Kita faham di asrama rumah kebajikan ada enam warden tetapi penghuninya lebih daripada 40 orang. Jadi, bagaimana mereka (warden) hendak mendengar (masalah penghuni)? Mereka juga ada tugas lain.
“Pertama kali berjumpa Rafei, dia susah hendak menceritakan apa yang terbuku dalam hatinya.. Saya mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan kepercayaannya,” kata beliau yang bersyukur kegigihannya dalam mendekati Rafei terbalas.
Sementara itu Pengerusi Yayasan OrphanCare Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata pemilihan Uncle Mike sebagai “rakan” OrphanCare berikutan kisah peribadi lelaki itu tersebut yang begitu luar biasa dengan pengorbanan yang dilakukan beliau melangkaui sempadan kaum, agama serta latar belakang.
“Sebagai Friend of OrphanCare kami berharap uncle Mike dapat membantu meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan berasaskan keluarga, perlindungan kanak-kanak dan kepentingan memastikan kanak-kanak yang terdedah kepada risiko diberi peluang untuk membesar dalam sebuah keluarga.
“Kanak-kanak yang tidak mempunyai penjagaan keluarga memerlukan lebih daripada tempat perlindungan dan keperluan asas. Mereka memerlukan rasa dimiliki, kestabilan, kasih sayang dan peluang untuk membesar dalam persekitaran keluarga yang kekal,” katanya.
Faizah berkata yayasan itu juga berharap penglibatan Uncle Mike akan memberi inspirasi dan menyuntik masyarakat untuk lebih memahami erti kasih sayang sebenar dan mengetahui betapa pentingnya hubungan kekeluargaan dibina bagi kanak-kanak yang tidak bernasib baik.
“Sama ada menerusi keluarga pelihara, pengangkatan anak, sokongan kepada keluarga, advokasi, kerja sukarela atau sekadar menyebarkan kesedaran, setiap individu mempunyai peranan dalam membina masyarakat yang lebih prihatin serta membantu mencegah pengabaian dan pembuangan kanak-kanak,” katanya.
Selain itu, Faizah berkata selaras dengan prinsip yayasan tersebut yang mahu memastikan kanak-kanak yang terdedah kepada risiko diberi peluang untuk membesar dalam persekitaran yang membolehkan mereka merasai kasih sayang, kestabilan dan rasa dimiliki.- Bernama




