Ronaldo buru peluang terakhir kejuaraan Asia, dominasi kelab Arab Saudi dijangka berterusan

Facebook
WhatsApp
CRISTIANO Ronaldo dari Portugal, penyerang Al-Nassr, meraikan jaringan gol pertama pasukannya ketika perlawanan Liga Pro Saudi antara Al-Nassr dan Abha di Stadium Al-Awwal Park, Riyadh pada 9 September 2026. Foto AFP

HONG KONG, China: Cristiano Ronaldo akan memburu peluang terakhir untuk memenangi Liga Juara-Juara Asia apabila pertandingan kelab utama benua itu bermula Isnin ini, dengan kelab-kelab Arab Saudi yang berbelanja besar dijangka mendominasi saingan.

Bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus berusia 41 tahun itu berkata bahawa musim ini “mungkin tahun terakhir saya dalam bola sepak.”

Penyerang Portugal itu hampir memenangi segala-galanya sepanjang karier kelabnya, termasuk lima kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA. Namun, Liga Juara-Juara Asia masih belum berjaya dimenanginya.

Pasukannya, Al Nassr, akan mengharungi kempen benua terbaharu itu di bawah kendalian jurulatih baharu, bekas pengendali Tottenham, Ange Postecoglou, yang dipecat Spurs pada Jun 2025 walaupun berjaya membawa kelab itu menjulang trofi Liga Europa.

Selain Ronaldo, kelab yang berpangkalan di Riyadh itu turut memiliki barisan penyerang bertaraf antarabangsa seperti Kingsley Coman, Sadio Mane dan rakan sepasukan Ronaldo dalam skuad Portugal, Joao Felix.

Al Nassr kini berada di tempat kedua Liga Pro Saudi selepas enam perlawanan, di belakang Al Hilal hanya menerusi perbezaan jaringan.

Kapten Ronaldo juga berada dalam prestasi baik apabila meledak tiga gol dalam lima perlawanan liga.

Al Hilal kendalian Simone Inzaghi pula menjadi halangan utama dalam usaha Ronaldo meraih kejuaraan Liga Juara-Juara AFC buat kali pertama.

Al Hilal berbelanja besar pada jendela perpindahan terbaharu dengan mendapatkan penyerang England dari Aston Villa, Ollie Watkins, dan pemain sayap Brazil dari Arsenal, Gabriel Martinelli, dengan nilai gabungan AS$150 juta.

Ancaman Jepun

Format Liga Juara-Juara Asia dilihat banyak memihak kepada pasukan dari Arab Saudi, yang membelanjakan jumlah besar dalam bola sepak dan bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Mulai musim 2024-2025, pertandingan itu dijenamakan semula sebagai Liga Juara-Juara Elit, dengan peringkat suku akhir, separuh akhir dan final diadakan di lokasi berpusat di Arab Saudi.

Al Ahli memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk muncul juara pada 2025 dan 2026.

Al Ahli yang dibarisi penyerang England, Ivan Toney, menewaskan kelab Jepun, Machida Zelvia, 1-0 menerusi masa tambahan dalam final April lalu di Jeddah.

Al Nassr, Al Ahli dan Al Hilal akan disertai Al Ittihad serta Al Qadsiah dalam saingan musim ini, menjadikan lima kelab Arab Saudi antara 32 pasukan yang bertanding.

Seperti beberapa tahun kebelakangan ini, pertandingan dibahagikan sama rata kepada dua liga, iaitu Zon Timur dan Zon Barat.

Setiap pasukan akan beraksi empat perlawanan di tempat sendiri dan empat perlawanan di tempat lawan.

Ancaman terbesar terhadap penguasaan Arab Saudi berkemungkinan datang dari Jepun, pasukan dari negara yang mempunyai bola sepak terkuat di Asia itu mara ke final dalam empat edisi terakhir.

Lima pasukan daripada Liga J Jepun turut mengambil bahagian, dengan juara domestik bertahan, Kashima Antlers, menjadi antara pasukan pilihan utama.

Bekas bintang Kashima, Yasushi Endo, mengakui pasukan Arab Saudi sukar untuk ditewaskan.

“Adalah sukar bagi pasukan Jepun untuk menjadi juara pada masa ini berikutan kekuatan kewangan pasukan dari Zon Barat yang mampu berbelanja besar untuk mendapatkan pemain yang lazimnya beraksi dalam liga Eropah yang kukuh,” katanya.

“Pertandingan yang menggunakan format berpusat di Zon Barat juga menjadikan keadaan lebih sukar.

“Kita tidak boleh memandang ringan kepentingan sokongan padu penyokong.” – AFP

Manchester United benam Sabah 4-0

MANCHESTER, United Kingdom: Manchester United meraih kemenangan 4-0 ketika kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tiga

Tokoh seni budaya Terengganu meninggal dunia

KUALA TERENGGANU: Tokoh Seni Budaya Terengganu Wan Salmah Wan Sulaiman, 82, meninggal dunia akibat kekurangan oksigen di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)